
Oleh Helisia, Zaharin & Saiful (Sabah)
KOTA KINABALU, 08 Dis (Malaysiaktif) –? Kastam Diraja Malaysia Negeri Sabah menyasarkan kenaikan pendaftar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) Sabah dari 21,533 kepada 22,000 pendaftar menjelang hujung tahun ini.
Timbalan Pengarah Kastam Bahagian GST, Madrim Tasan berkata kini bukan masa untuk menumpukan kepada kesedaran cukai itu sebaliknya memfokus kepada pelaksanaan, penguatkuasaan serta pematuhan melalui perundangan terhadap GST.
Katanya, sektor awam sewajarnya lebih memahami proses pembayaran dan penuntutan GST bagi memudahkan tugas dan prosedur semua pihak.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Hand Holding Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) Layanan GST Ke Atas Sektor Kerajaan di Wisma Kastam Sabah, petang tadi.
Program yang dihadiri seramai 150 pegawai kerajaan dari pelbagai agensi itu turut mendengar ceramah yang disampaikan Penolong Pengarah Kastam Bahagian GST, Venitha Lojuti.