Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Kursus Tahsinussolah Menjawab Persoalan Tentang Solat

By 9 Disember 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh Khairul Izham Zakaria (Teluk Intan)

HUTAN MELINTANG, 9 Dis (Malaysiaaktif) — Masjid Al-Aula Simpang Empat di sini kelmarin mengadakan Kursus Tahsinussolah yang bertujuan menerangkan tatacara mengerjakan solat dengan betul.

Kursus dibahagikan kepada tiga slot, iaitu Slot 1 tentang Sifat Solat Nabi yang memberi penekanan kepada rukun solat yang tepat, solat sunat dan latihan amali. Slot 2 tentang Mubtilussolat membincangkan perkara-perkara yang boleh membatalkan solat dan Slot 3 merangkumi soal jawab.

Kursus dikendalikan oleh Imam1 masjid tersebut, Haji Khairuddin Mohd Saman, dihadiri oleh 153 peserta pelbagai peringkat usia.

 

10411077_455149468024195_3491084334191796853_n

 

Menurut seorang peserta, Haji Ariffin Tumin, 68, selain mengisi masa lapang, kursus ini memberi peluang kepada beliau untuk mengulangi pengajian agama dan seterusnya membetulkan kesilapan dalam mengerjakan solat.

Rahmah Shamsuri, 48, yang sedang menghabiskan cuti tahunannya  pula berkata, kursus ini membuka mindanya tentang tatacara mengerjakan solat dan tatacara menutup aurat bagi membolehkan beliau melakukannya dengan betul.

Menurut beliau, kadang kala wanita Asia beragama Islam terlalu terikat dengan budaya menggunakan telekung ketika mengerjakan solat, namun melalui kursus ini baru beliau faham bahawa begitu mudah melakukannya walaupun tanpa telekung kerana pakaian mereka sudah menetapi syarat menutup aurat.

Siti Zulaikha Muntaz Ahmad, 14 yang mengikut keluarganya berkursus, berkata ia menambahkan pengetahuannya tentang solat yang bukan sekadar secara teori, tetapi juga amali.

Kursus diadakan dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Awam 1 Hutan Melintang, Pengurusan Masjid Al-Aula dan Jabatan Penerangan Daerah Hilir Perak.

 

Tinggalkan komen anda