Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahEkonomiHomeKuala LumpurViral

Kaunter Aduan KPDNKK di Kota Raya, Low Yat, Kompleks Pertama

By 24 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Dila Khamde / Hairol Hisham Hamdan

KUALA LUMPUR, 24 Dis (Malaysiaaktif) — Peniaga telefon bimbit dan gajet di sekitar Kuala Lumpur perlu bersikap lebih telus dan ikhlas dalam mengendalikan perniagaan mereka atau berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Dalam pada itu, orang ramai boleh mendapatkan khidmat nasihat serta membuat aduan terhadap salah laku peniaga melalui kaunter aduan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Kompleks membeli-belah Kota Raya di sini yang buka Selasa lepas.

Selain di Kompleks Kota Raya, KPDNKK turut membuka kaunter aduan pengguna di beberapa pusat membeli-belah lain, termasuk Plaza Low Yat di Bukit Bintang dan Pertama Kompleks di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

 

2015-12-24 17_12_45-Start

 

Sejak dibuka setakat semalam, Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK menerima sebanyak lima aduan yang direkodkan melalui aduan borang.

Sehubungan itu, KPDNKK telah merampas produk bernilai hampir RM10,000 yang dijual bersabit pelbagai kesalahan.

Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Haji Ahmad yang membuat lawatan ke kaunter berkenaan di Kompleks Kota Raya semalam menasihati orang ramai supaya membuat aduan berhubung salah laku peniaga melalui ‘hotline’ KPDNKK 1-800-886-800 atau dengan menggunakan aplikasi Ez-Adu yang boleh dimuat turun dari Google Play bagi pengguna sistem operasi telefon pintar Android.

Beliau berkata berdasarkan beberapa aduan yang dibuat baru-baru ini, pegawai penguatkuasaan KPDNKK telah melakukan serbuan premis yang terbabit, namun didapati kedai-kedai tersebut ditutup.

Bagaimana pun, Alias berkata pihak KPDNKK akan meneruskan usaha menjejak pemilik kedai dan mengenakan tindakan, termasuk mengeluarkan notis tunjuk sebab yang perlu dijawab dalam masa tiga hari.

Menurut beliau, sejak Januari hingga November KPDNKK telah bertindak berhubung 92 kes barangan tiruan telefon bimbit dengan nilai rampasan berjumlah kira-kira RM600,000.

Peniaga yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 ataupun Akta Perlindungan Pengguna.

 

maxresdefault

‘Screen capture’ rakaman video pergaduhan di Kota Raya baru-baru ini.

 

Isu penipuan terhadap seorang pembeli baru-baru ini antara pencetus tindakan tegas pihak KPDNKK ke atas pelaku kesalahan dan pembukaan kaunter aduan pengguna.

Dalam kejadian yang berlaku di Kompleks Kota Raya itu, lelaki berkenaan dikurung selama empat jam oleh penjual telefon. Berita pengurungannya tersebar luas dalam media sosial hingga menggerakkan pihak Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membantu lelaki tersebut.

Petang Ahad lepas, satu kekecohan berlaku di Kompleks Kota Raya yang dipercayai berpunca daripada tindakan beberapa individu cuba mendapatkan balik wang pembelian telefon bimbit.

Insiden tersebut telah memaksa kompleks membeli-belah itu ditutup setelah berlaku pergaduhan yang turut mengakibatkan kerosakan premis perniagaan di situ.

 

Tinggalkan komen anda