Skip to main content
EkonomiHomeViral

Kemasukan Pekerja Bangladesh Tidak Jejas Peluang – KDN

By 2 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 2 Dis — Kerajaan akan memastikan kemasukan buruh dari Bangladesh ke negara ini, tidak menjejaskan dan menggugat peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, kata Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Kementerian berkata selain itu, keseimbangan pasaran buruh juga tidak akan terjejas kerana mereka hanya dibenarkan bekerja di lima sektor formal iaitu pembinaan, perkilangan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan.

“Cadangan berhubung kemasukan 1.5 juta pekerja dari Bangladesh dibuat setelah mengambil kira perkembangan ekonomi negara dan keperluan industri bagi mengisi jawatan yang tidak digemari rakyat tempatan.

“Bagaimanapun kerajaan juga sangat berhati-hati dalam perkara ini agar peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan tidak terjejas dan sentiasa dilindungi,” KDN menyatakan dalam jawapan bertulis kepada soalan Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini.

Sim, ingin mengetahui apakah rasional di sebalik cadangan kerajaan untuk membenarkan 1.5 juta pekerja Bangladesh bekerja di negara ini.

Mengenai soalan Datuk Mohd Idris Jusi (PKR-Batu Pahat) yang mahu tahu sekiranya rancangan ini akan mengakibatkan masalah sosial, KDN berkata, kerajaan sentiasa menyedari isu ini merupakan isu yang sangat mencabar.

Namun, katanya lagi kehadiran buruh asing bagi mengisi jawatan-jawatan yang tidak digemari rakyat tempatan, terutamanya berunsurkan 3D (kotor, berbahaya dan sukar) adalah perlu bagi membantu kerajaan meningkatkan kemampanan ekonomi negara.

Oleh itu, kementerian berkata beberapa langkah diambil bagi meminimumkan masalah yang timbul, antara lain, mengehadkan kepada lima sektor di atas, mengambil buruh asing berdasarkan keperluan sebenar industri, serta mengenakan saringan kesihatan bagi tiga tahun pertama.

Selain itu, golongan itu hanya dibenarkan memasuki Malaysia melalui Visa Dengan Rujukan (VDR) untuk direkodkan ke dalam Sistem Penguatkuasaan dan Pendaftaran Warga Asing (NERS) melalui pengambilan biometrik.

Kerajaan juga akan memastikan kesemua pekerja asing diberi Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang perlu diperbaharui setiap tahun supaya keberadaan mereka dapat dipastikan selalu.

Turut diberi perhatian oleh kementerian itu adalah tindakan penguatkuasaan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang masih berada dalam negara.

“Tindakan tegas juga akan dikenakan ke atas majikan yang didapati melanggar Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 seperti menggaji dan melindungi PATI,” katanya.

Bagi memastikan proses penambahbaikan pengurusan buruh asing berterusan, KDN akan melaksanakan konsep ‘liabiliti ketat’ bertujuan memastikan majikan bertanggungjawab sepenuhnya kepada pekerja asing yang digajikan bermula dari peringkat permohonan, penggajian dan sehinggalah pekerja asing itu dihantar pulang.

KDN juga akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia dan semua agensi kawal selia serta agensi penguatkuasa yang lain bagi memastikan pekerja asing sentiasa terkawal dan tidak memberi implikasi terhadap keselamatan dan ketenteraman negara.

— BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda