
Oleh Fauzrina Hj Bulka (Melaka)
MELAKA, 15 Dis (Malaysiaaktif) — Hampir 70 ahli jawatankuasa Komuniti 1Malaysia (K1M) dan wakil pelbagai media hadir dalam perjumpaan mesra anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Melaka semalam.
Antara wakil media yang hadir, RTM, Bernama, Utusan Malaysia, Melaka Hari ini, China Press dan Kosmo.
Menurut Pengarah Jabatan Penerangan Melaka, Lim Ann Teck, majlis bertujuan mengeratkan lagi hubungan serta perangkaian antara badan-badan bukan kerajaan (NGO) seperti K1M, media dan kerajaan.
Tambah beliau lagi, aktiviti yang dijalankan di satu-satu tempat memerlukan publisiti dan liputan daripada pihak media supaya matlamat sampai kepada golongan sasar.
Menurut pengerusi Permuafakatan K1M Melaka Tengah, Razali Yasin, Komuniti 1 Malaysia memang sentiasa membantu Jabatan Penerangan untuk menyampaikan dasar-dasar kerajaan hingga ke akar umbi. Beliau berkata pelbagai aktiviti dilakukan dengan kerjasama jabatan untuk menyampaikan maklumat secara bersemuka.
“Antara maklumat terkini yang perlu disampaikan ialah Bajet 2016 dan juga Rancangan Malaysia ke 11, di mana kami selaku pengerusi K1M telah diberi maklumat dan tugas kami untuk menyampaikan kepada masyarakat di K1M masing-masing,”katanya.
Tambah beliau, di Melaka sahaja terdapat 28 K1M mewakili setiap kawasan Dewan Undangan Negeri. Ini termasuk empat K1M bukan Melayu dalam setiap daerah.