Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

Peruntukan RM22.8 Bantuan Pelajar Dalam Bajet 2016 Melaka

By 31 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Fauzrina Hj Bulka (Melaka)

MELAKA, 31 Dis (Malaysiaaktif) — Dalam Bajet 2016 yang diumumkan November lepas oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM22.8 juta bantuan kewangan kepada pelajar. Ia diberikan dalam bentuk biasiswa, dermasiswa, pinjaman pendidikan, bantuan pelajar sekolah, bantuan ke Institut Pengajian Tinggi (IPT), anugerah pelajar cemerlang serta bantuan tambang.

“Kerajaan negeri melalui Yayasan Melaka turut memperuntukkan sejumlah RM96,000 pada 2016 bagi sumbangan biasiswa RM80 sebulan secara tetap kepada 100 orang pelajar cemerlang dalam kalangan keluarga berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan,” ujar Idris.

Beliau juga menjelaskan bahawa Yayasan Melaka turut membantu kerajaan negeri memperkasa bidang pendidikan dengan menyediakan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) berjumlah RM5.5 juta, Program Motivasi Sekolah RM485,000 kepada 314 buah sekolah dan Program Penguasaan Bahasa Inggeris untuk pelajar-pelajar, terutama di luar bandar secara percuma dengan kerjasama dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) dengan peruntukan sebanyak RM240,000.

Tambah Idris, program yang diadakan ini merupakan satu langkah yang amat baik kerana dapat membantu meningkatkan tahap pendidikan pelajar dan membantu meringankan bebanan ibu bapa berpendapatan rendah.

“Harapan kita agar akan lahir individu yang memiliki kebijaksanaan dan hikmah yang bersifat kontemporari, mampu berfikir dan bertindak menurut kesesuaian manfaat diri dan orang lain,” jelas Idris dalam Majlis Taklimat Pemberian Biasiswa Pelajar Cemerlang Yayasan Melaka petang tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi, Datuk Md. Rawi Mahmud.

 

Tinggalkan komen anda