
Oleh Fasharina Kholil (Gerik)
LENGGONG, 31 Dis (Malaysiaaktif) — Dalam usaha untuk memastikan supaya Lenggong terus popular sebagai tarikan pelancongan, kerajaan negeri Perak akan menjenamakan semula Pesta Makanan Tradisional Lenggong kepada Festival Makanan Antarabangsa Lenggong (LIFF) mulai 2016.
Inisiatif baharu itu selari dengan potensi lembah bersejarah ini yang mempunyai banyak sumber sebagai asas bagi mengekalkan warisan makanan tradisional setempat.
Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pelan tersebut merupakan antara idea untuk menambah nilai Lenggong, selari dengan statusnya sebagai Tapak Warisan Dunia (TWD) yang diiktiraf oleh UNESCO sejak 30 Jun 2012.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pesta Makanan Tradisional Lenggong di sini pagi tadi.
Pesta kali ini menyaksikan kehadiran lebih 4,000 pengunjung yang membanjiri sekitar Dataran Lenggong.
Seperti tahun-tahun terdahulu, pesta ini memperagakan pelbagai barisan makanan dan keunikan cara penyediaan masing-masing, termasuk kebebe, gulai buah kemahang, kerabu buah beko dan lain-lain.
Turut hadir, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamed dan ADUN Kenering, Mohd Tarmizi Idris.
Pesta dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Majlis Pelancongan Lenggong dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong.