Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurEkonomiHomeTerengganuViral

Insurans Banjir ‘Kampungku’ Diperluas Ke Seluruh Negara

By 31 Disember 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh Aneta Ahmad (Kemaman)

KEMAMAN, 31 Dis (Malaysiaaktif) — Kejayaan skim insurans “Kampungku” Parlimen Kemaman yang merupakan salah satu penambahbaikan di dalam Pengurusan Bencana Banjir Daerah Kemaman pada tahun ini akan diperluaskan ke seluruh negara.

Ia akan membolehkan semua mangsa yang terjejas oleh banjir di seluruh negara mendapat perlindungan insurans mulai tahun depan bagi meringankan beban mereka.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi semasa lawatannya ke Pusat Pemindahan Mangsa Banjir di Dewan Sivik FELDA Seberang Tayur, Air Putih, di sini hari ini.

Di bawah skim tersebut caruman sebanyak RM70 ringgit dipotong daripada bantuan Dana Khas Banjir sebanyak RM500.

Mengambil contoh inisiatif tersebut di Kemaman, Zahid merujuk kepada pembayaran pampasan sebanyakRM1,000 dalam tempoh 96 jam kepada mangsa banjir.

Dua buah syarikat insurans telah bersetuju untuk bekerjasama bagi menjayakan inisiatif berkenaan.

Sebelum ini, setiap keluarga terjejas banjir menerima wang ehsan sebanyak lima ratus ringgit yang dibayar oleh kerajaan.

Sementara itu, Zahid turut mengumumkan penubuhan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai penyelaras kepada agensi kerajaan yang terlibat dengan penguatkuasaan bencana, termasuk banjir.

Beliau berkata NADMA yang pertama kali beroperasi musim banjir kali ini bukan untuk mengambil alih peranan agensi berkenaan, namun ia diwujudkan untuk memastikan segala bantuan mangsa banjir dapat disalurkan dengan lebih berkesan.

 

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda