
Oleh Syed Mohd Adib Syed Hassan
SEGAMAT, 22 Dis (Malaysiaaktif) — Program ‘Back To School’ Kawasan Dewan Undangan Negeri Buloh Kasap berlangsung Khamis lepas di Dewan Raya Batu Anam.
Majlis dari pukul 7.30 pagi hingga 2.00 petang itu diisi dengan pelbagai acara, termasuk Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak, Timbang Bola Sepak Raga, Gubahan Bunga, Lipatan Tuala, Car Boot Sale, Barber On Wheels, Karaoke Patriotik dan banyak lagi.
Program dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Buloh Kasap, Hajah Norshida Ibrahim merangkap pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-Mukim (JPMM) DUN Buloh Kasap.
Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada seluruh masyarakat kawasan Parlimen Segamat, terutama DUN Buloh Kasap kerana bersatu hati dalam menjayakan program tersebut.
Sehubungan itu, beliau meminta para pemimpin masyarakat terus memainkan peranan sebagai agen kerajaan dalam membantu menyampaikan dasar-dasar kerajaan.