Skip to main content
Berita TempatanHomeRencana & Pendapat

Selaraskan Undang-Undang Terhadap Vape, Rokok Biasa – PSM

By 18 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

Oleh: Faris Fuad KOTA BHARU, 17 Dis (Malaysiaaktif) – Parti Sosialis Malaysia (PSM) Kelantan berpendapat kerajaan negeri harus bertindak dan berpendirian adil dalam isu pengharaman rokok elektronik atau vape.

Pengerusi PSM Kelantan, Khairul Nizam Abd Ghani menggesa pihak terbabit untuk memberi layanan sama rata kepada isu vape dan rokok biasa.

“PSM Kelantan tetap dengan pendirian dan pendidikan, bahawa vape atau pun rokok adalah memudaratkan kesihatan manusia.

“Tetapi dalam keadaan sekarang, di antara dua pilihan yang ada, adalah retorik (kononnya Islam) yang aneh mengharamkan penjualan vape dalam pihak berkuasa tempatan (PBT), sebaliknya menghalalkan penjualan rokok konvensional dalam PBT yang sama, ” katanya menerusi entri yang dimuat naik dalam laman Facebooknya hari ini.

Khairul berkata kedua-dua jenis rokok tersebut terbukti akan memudaratkan kesihatan penggunanya.

Jelasnya, pihaknya berdiri teguh dengan mencadangkan agar kedua-dua bahan tersebut diharamkan atau dikuatkuasakan undang-undang khas bagi mengawal penggunaan rokok tersebut.

“Justeru itu, PSM Kelantan mengambil pendirian bahawa haramkan penjualan kedua-dua jenis rokok ini, atau selaraskannya dalam satu standard yang sama. Yakni denda bagi yang menghisap di kawasan larangan, penjualan atas 18 tahun, kadar nikotin tertakluk pada akta sedia ada dan sebagainya,” katanya lagi.

Semalam, Kerajaan Kelantan mengesahkan pengharaman penjualan dan penggunaan rokok elektronik di negeri itu bermula awal tahun depan.

Kerajaan negeri juga telah memberi arahan kepada pihak berkuasa untuk mengeluarkan notis 14 hari bagi pemilik perniagaan berkaitan untuk mengosongkan premis mereka.

Undang-undang baru tersebut akan mula dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2016.

Tinggalkan komen anda