
Oleh Mohd Ayop Abd Razid
Perjuangan UMNO mesti berada dalam satu wadah, satu pasukan dengan satu matlamat seperti yang digariskan oleh perlembagaan parti. UMNO berjuang untuk menegakkan ’alif’, ’ba’ dan ’ta’ – bangsa, agama dan tanah air.
Justeru, penghayatan yang ikhlas terhadap perjuangan parti oleh barisan kepimpinan dan ahli UMNO amat penting untuk memastikan obor perjuangan UMNO terus menyala, terutama dalam mengharungi badai politik yang semakin mencabar.
Landskap politik tanah air yang semakin berubah sejak ‘tsunami politik’ 2008 menuntut seluruh ahli UMNO menggalas tuntutan perubahan ke arah perjuangan parti yang lebih mantap dan menyakinkan.
Seluruh ahli parti mesti bangkit dan merapatkan saf serta menghayati rukun perjuangan parti demi memastikan agenda transformasi yang dihasratkan oleh Majlis Tertinggi parti dapat diterjemahkan dalam seluruh gerak kerja parti.
Pemimpin dan ahli UMNO harus sedar bahawa parti itu tidak mempunyai banyak masa untuk mengembalikan keyakinan rakyat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.
PRU-14 akan mementukan nasib parti itu dalam persada politik tanah air. Oleh itu, rakyat perlu disantuni dan didekati dengan imej dan reputasi parti yang menyakinkan.
’Alawiyyat’ atau keutamaan yang mesti diberikan oleh ahli UMNO ialah mengutamakan parti dan bukan kumpulan atau individu tertentu. Pemimpin dan ahli UMNO di semua peringkat mesti menentukan maruah dan kepentingan parti lebih besar daripada kepentingan diri.
UMNO perlu ada satu nakhoda supaya bahtera yang dikemudikan itu dapat mengharungi badai yang sedang bergelora dan mengganas. Segala persengketaan mesti dileraikan segera.
Mereka yang berkonflik mesti segera berdamai. Biarlah kita ‘berkelahi di hujung batang, berbaik di pangkal batang’ atau umpama ‘biduk berlalu, kiambang bertaut’. Yang penting, UMNO mesti terus kukuh dan diterima sebagai sebuah parti yang dapat meneruskan agenda perjuangan bangsa, bukan sahaja bangsa Melayu tetapi untuk seluruh bangsa Malaysia.
Jika UMNO mahu terus relevan untuk mengemudi kepemimpinan negara maka prinsip kesatuan (perpaduan) itu mesti diterjemahkan dalam amalan dan gerak kerja parti secara menyeluruh.
Kekuatan seharusnya datang dari dalam parti dan bukannya dari mereka yang berada diluar. Orang yang berada di luar parti perlu didekati untuk dua tujuan, sama ada menarik mereka menyertai parti atau menjadi penyokong yang akan memberi undi kepada parti ketika pilihan raya diadakan.
Justeru, Perhimpunan Agung UMNO 2015 yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mesti dijadikan platform yang bermakna untuk membahas secara tuntas dan serius agenda perjuangan parti dan isu-isu rakyat secara rasional.
Kita tidak mahu para perwakilan berapi-api melaungkan perjuangan untuk bangsa, agama dan tanah air tetapi hati berpecah belah atau berkiblatkan kepada kepentingan peribadi dan kebendaan.
Jika itu yang berlaku maka UMNO tidak lagi dipandang sebagai pembela rakyat. UMNO tidak boleh lagi bergantung semata-mata kepada nostalgia dan kejayaan lalu. Pemikiran rakyat sudah jauh berubah. Mereka mahukan sebuah parti yang benar-benar berintegriti dalam segala perkara serta prihatin terhadap rakyat.
Justeru, pemimpin dan ahli UMNO perlu berupaya mempraktikkan ’mujahadahtun nafs’ kerana ia adalah ubat mujarab membersihkan penyakit yang bersarang di hati, termasuk penyakit gila kuasa.
Segala perbuatan yang boleh melemahkan parti mesti dijauhi dan seluruh ahli parti mesti bersatu bagi memastikan transformasi yang direncanakan dapat diterjemahkan dalam bentuk gerak kerja parti yang berkesan.
Sejarah membuktikan bahawa bangsa yang ingin bangkit dari kelemahan mestilah memilki empat kekuatan, iaitu keyakinan terhadap kebolehan diri, kepemimpinan yang berintegriti, solidariti yang mantap dan disiplin yang tinggi. Keempat-empatnya memainkan peranan besar dalam ketahanan bangsa.
Kesimpulan, UMNO mesti menjana dan membungar kembali kekuatan parti melalui perpaduan yang jitu. Sesungguhnya kelangsungan dan perjuangan UMNO amat bergantung kepada komitmen pemimpin dan ahlinya untuk menghayati perubahan yang dibawa oleh pucuk kepimpinan parti.