
Oleh Suhairi Ishak (Segamat)
SEGAMAT,17 Jan (Malaysiaaktif) — Setelah 27 tahun akhirnya peneroka di Gugusan Felda Palong Timur 1, 2 dan 3 Mukim Gemas menerima geran hak milik ke atas tanah seluas 10 ekar masing-masing.
Seramai 27 daripada penerima hak milik merupakan golongan Orang Kurang Upaya.
Seorang penerima, Misdan Suja, 58, yang pernah mengidap strok berasa terharu kerana mendapat geran setelah menunggu sejak 1988. Beliau hadir pada majlis ini dengan ditemani isterinya, Norlela Muzir, 54.
Perasaan yang sama dikongsi oleh Ahmad Alip, 63, yang mengidap kencing manis dan sebelah kakinya terpaksa dipotong. Beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan Felda di atas penerimaan gerak hak milik ke atas tanah yang diusahakannya.
Penyerahan geran disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Dewan Perdana Putra Felda Palong Timur pagi tadi.
Turut hadir di majlis ini , Ahli Parlimen Segamat Datuk Seri S. Subramaniam dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Buluh Kasap Norshida Ibrahim.