
Oleh Md Zakri Chan & Norazura Abd Latif (Melaka)
MELAKA, 7 Jan (Malaysiaaktif) — Beg plastik dan polistirena mengambil masa kira-kira 400 tahun untuk hancur dalam tanah secara semula jadi, selain boleh menyebabkan kanser dan menyumbang kepada pencemaran alam.
Sehubungan itu, negeri Melaka hari ini dengan rasminya mengisytiharkan dasar sifar beg plastik dan polistirena yang berkuat kuasa bermula 1 Januari lepas.
Majlis pelancaran yang berlangsung pagi tadi di Mahkota Parade disempurnakan oleh Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi, Datuk Wira Md. Yunos Husin yang mewakili Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.
“Kerajaan Negeri Melaka telah membuat persiapan awal dengan mengadakan kempen Hari Tanpa Beg Plastik dan Polisterin sejak tahun 2014 dengan menetapkan hari Sabtu sebagai hari tanpa beg plastik. Mulai tahun 2015 pula ianya ditambah kepada tiga hari bermula hari Jumaat hingga hari Ahad,” jelas Md Yunos.
Menurut beliau masih terdapat pasar raya membekalkan beg plastik dengan mengenakan caj 20 sen seunit kepada pengguna. Oleh itu kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dengan menetapkan pengharaman beg plastik dan polistirena di seluruh negeri Melaka mulai 2016 dan pemilik pasar raya yang ingkar akan dikenakan tindakan keras denda RM250.