
Oleh Faris Fuad
KUALA LUMPUR, 7 Jan (Malaysiaaktif) – PAS sekali lagi menggesa orang ramai supaya tidak membincangkan lagi isu ‘bergabung’ antara parti Islam itu dengan UMNO.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berpendapat kata sepakat yang dicapai Majlis Syura tempoh hari jelas menunjukkan parti itu hanya berminat menjalinkan kerjasama yang melibatkan perjuangan Islam.
Tambahnya, kerjasama sedia ada bersama parti lain tidak bermakna mereka memperjuangkan ideologi yang serupa.
“Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kita tidak akan bergabung. Istilah itu betul, istilah bergabung, menyertai dan kerjasama itu tidak sama.
“Awak boleh bekerjasama dengan orang bukan Islam sekalipun, contohnya kereta rosak tepi jalan kita kerjasama menolak kereta. Itu tidak bermakna kita berkongsi keyakinan. Bagi kami apa yang dikeluarkan Majlis Syura itu sangat jelas, tiada lagi persoalan,” katanya yang dipetik dari laman portal Sinar Harian.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata PAS akan berdiri teguh sendiri dan mengekalkan kerjasama politiknya bersama Parti Keadilan Rakyat.
Jelasnya, PAS akan menyertai majlis anjuran UMNO, tetapi akan melihat terlebih dahulu inti pati majlis tersebut.
Semalam, Majlis Syura Ulamak PAS menegaskan Parti Islam itu tidak akan bergabung dengan Umno dalam Barisan Nasional (BN).
Setiausahanya, Datuk Dr Nik Mohd Zawawi Salleh memaklumkan PAS akan terus menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti yang memegang konsep perjuangan yang sama demi masa depan rakyat dan negara.