Skip to main content
Berita TempatanHomePerak

Jual Beli Tidak Terjejas Di Pasar Besar Teluk Intan

By 11 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

oleh Mohd Alihanafiah TELUK INTAN, 11 Jan (Malaysiaaktif) – Hasil tinjauan awam Malaysiaaktif di Pasar Besar Teluk Intan pagi ini mendapati aktiviti jual beli berjalan seperti biasa meskipun desas-desus kenaikan harga bahan mentah secara mendadak sedang hangat diperkatakan.

Seorang peniaga buah-buahan, Pak Rashid berkata, perniagaannya masih berjalan seperti tahun-tahun sebelumnya dengan pelanggan tetap masih mengunjungi gerainya di pasar ini bagi mendapatkan buah-buahan segar.

Pak Rashid juga tidak merasai kenaikan kos bagi mendapatkan stok kerana buah-buahan yang dijualnya didapati daripada pengeluar-pengeluar tempatan. Sebagai contoh, dia mendapatkan bekalan buah nangka madu dari Kampung Sungai Suli. Nangka madunya dijual dengan harga yang berpatutan iaitu RM 3.00 untuk setengah kilo.

Dalam tinjauan yang sama, seorang pengusaha katering Taman Maju Jalan Woo Sek Hong, Mohd Khalid Bin Mohd Kassim, 64, berkata, harga bahan mentah di pasar ini masih tidak membebankan. Tambahan pula, dia sering membeli bahan-bahan mentah dalam kuantiti yang banyak daripada penjual yang sama. Hal ini membolehkannya mendapatkan harga yang lebih murah berbanding harga biasa. Namun, dia mendakwa ada juga segelintir peniaga di sini yang akan menaikkan harga sesetengah barangan ketika musim perayaan dan cuti sekolah.

Secara umumnya, tinjauan Malaysiaaktif mendapati para peniaga mempamerkan tanda harga bagi barangan yang dijual. Situasi ini adalah bertepatan dengan Perkara (9) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang mensyaratkan para peniaga untuk berbuat demikian.

Dalam perkembangan lain, suatu program Taklimat Maklumat Kepenggunaan anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Hilir Perak telah diadakan semalam di Mini Arena Square, Kampung Ayer Hitam, Changkat Jong. Kira-kira 200 orang penduduk kampung menghadiri taklimat tersebut yang telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bersama Gerakan Pengguna Hilir Perak, Datuk Haji Ayub Bin Mohamad.

Dalam taklimatnya, Ayub menegaskan kepentingan audiens untuk mengetahui dan mempertahankan hak-hak mereka sebagai pengguna. Antaranya, hak pengguna untuk membuat pilihan, mendapatkan ganti rugi, dan hak untuk menyuarakan pendapat. Beliau juga turut mengingatkan orang ramai untuk sentiasa melaporkan sebarang salah laku peniaga ke Pejabat KPDNKK yang berhampiran bagi mengelakkan kesalahan berulang.

Tinggalkan komen anda