Skip to main content
Berita TempatanHomePerak

Muallim Diisytihar Daerah KE-11Negeri Perak

By 11 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Oleh Suriani Ghazali & Kartini Abd Aziz  MUALLIM,  11 Jan (Malaysiaaktif) – Tanggal 11 Januari 2016 menjadi detik bersejarah buat negeri Perak apabila Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini telah berkenan mengisytiharkan Daerah Muallim sebagai daerah ke-11 di negeri Perak bertempat di Dewan Seri Tanjong Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM).

Daerah Muallim yang telah diwartakan pada 1 Oktober 2015 setelah mendapat kelulusan Jemaah Menteri mempunyai keluasan 93,434.65 hektar iaitu merangkumi Mukim Slim, Mukim Hulu Bernam Timur dan Mukim Hulu Bernam Barat yang sebelum ini diletakkan di bawah pentadbiran Pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang.

Pemilihan nama Muallim yang bermakna ilmuan dalam bahasa Arab amat bertepatan kerana di sinilah sejarah pendidikan negara telah tercatat seawal tahun 1922 apabila tertubuhnya Sultan Idris Training College (SITC). Pada tahun 1957, SITC telah ditukarkan nama kepada Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) yang kini dikenali sebagai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Selain UPSI, daerah ini juga menjadi pusat pembuatan kereta nasional, Proton.

Kini, Muallim menjadi tumpuan pembangunan institusi-institusi pendidikan tinggi awam dan swasta sekaligus menjadikannya sebagai hub pendidikan di Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir dalam ucapannya juga turut menekankan bahawa pengisytiharan ini juga merupakan cerminan kepada iltizam kerajaan bagi memastikan agar keterangkuman dan agihan pembangunan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat dan tidak tertumpu di kawasan tertentu sahaja.

Menurut Pegawai Daerah Muallim, Puan Nor Sham Rahman, pengisytiharan ini pastinya akan memberikan impak penambahbaikan perkhidmatan kepada rakyat di negeri Perak dan penduduk Muallim khasnya. Tambahnya, rancangan pembangunan pada masa hadapan akan dilaksanakan dengan menumpukan kepada penglibatan pihak swasta dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik untuk dinikmati oleh penduduk di sini.

Istimewanya, Daerah Muallim turut membuka tirai sejarah apabila menamakan Puan Nor Sham Rahman sebagai pegawai daerahnya yang pertama. Nor Sham merupakan wanita kedua yang dilantik sebagai Pegawai Daerah dan negeri Perak merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai lebih daripada seorang pegawai daerah dalam kalangan wanita.
Turut berangkat ke majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Tinggalkan komen anda