Skip to main content
Berita TempatanSabah

Kapal Belia ASEAN (SSEAYP) Nippon Maru Singgah Di Sabah

By 8 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh Yahya Abdul Rajak, Abdullah Sani Ariff Lokman, Azman Jumat, Johny Kinlon  (Sabah)

 KOTA KINABALU, 8 Disember 2015 (Malaysiaktif)  — Dunia yang berubah dengan pesat seiring pelbagai cabaran dari setiap sudut menggoyahkan keutuhan perpaduan dan ikatan persaudaraan.

Oleh yang demikian, interaksi manusia dan nilai-nilai positif boleh melahirkan masyarakat global yang lebih baik dan progresif.

Ini antara inti pati ucapan aluan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman, pada Majlis Makan Malam Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) Ke-42  di sini Selasa lepas.

 

SSEAYP03

 

Dalam ucapannya yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, beliau melahirkan rasa gembira melihat sebuah negara maju, seperti Jepun bertindak sebagai barisan hadapan dalam usaha menggalakkan interaksi komunikasi bersemuka sebegini.

Kapal Belia ASEAN, Nippon Maru, singgah ke Sabah Selasa lepas dalam rangka pelayaran  selama 40 hari yang merangkumi pelbagai destinasi, termasuk Filipina,Vietnam, Myanmar dan terakhir Malaysia (Sabah).

Program tahunan ini ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Jepun dengan kerjasama negara-negara anggota ASEAN.

 

SSEAYP11

 

Kapal Nippon Maru memulakan pelayaran pada 5 November tahun lepas dengan membawa seramai 309 belia dari semua negara ASEAN dan Jepun.

Pada majlis ini, para peserta dari 11 buah negara mempersembahkan representasi kebudayaan negara masing-masing serta pertukaran cenderamata.

Kapal dan kumpulan belia ini akan berangkat pulang ke Jepun hari ini.

Sepanjang persinggahan di Sabah, peserta diambil sebagai anak angkat oleh beberapa keluarga tempatan dalam usaha mengeratkan dan hubungan dan meningkatkan pemahaman antara komuniti ASEAN.

Peserta dari Thailand, Wiratchai Pongkoh, 28, berkata beliau amat teruja dengan pengalaman ini dan pasti akan merinduinya setelah pulang ke negaranya kelak.

 

SSEAYP08

Menurutnya, program ini memberikan pengalaman berharga apabila dapat bertemu belia-belia berkualiti yang mempunyai identiti kepelbagaian ASEAN.

Peserta dari Laos, Latsamy Banmanivong, 24, pula berkata lawatan beliau ke stesen RTM Sabah memberikan perspektif baharu kepadanya, kerana sebelum ini beliau juga pernah dibawa melawat ke sebuah stesen penyiaran di Filipina.

Delegasi belia ASEAN ini turut dibawa melawat beberapa tempat lain, termasuk Universiti Teknologi Mara (UITM) Kampus Sabah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS), UNITAR, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, dan Kolej Pelancongan Asia Kota Kinabalu.

Hadir sama meraikan kehadiran delegasi ini, termasuk Ketua Pejabat Konsul Jepun  Kota Kinabalu, Shinji Urabatashi, Konsul General Indonesia, Bapak Daya Handasah Irfan, Konsul Agung Brunei, Pengiran Hajah Noriyah Pengiran Yusuf, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Datuk Suzanna Liaw dan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Malaysia, Datuk Hatipah Ibrahim.

 

Tinggalkan komen anda