Skip to main content
GlobalHomeViral

Kronologi  Kejadian Letupan Di Sarinah Mall Jakarta

By 14 Januari 2016Ogos 19th, 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

JAKARTA, 14 Jan – Berikut merupakan kronologi yang berlaku di Jakarta mengikut waktu tempatan.

11:30 pagi

Jeremy Douglas seorang wakil PBB di Jakarta, menerusi akaun twitternya, menyatakan satu letupan besar-besaran telah berlaku di hadapan pejabat PBB di ibu negara Indonesia diikuti oleh enam letupan lain berserta tembakan. Letupan berlaku di hadapan pusat beli-belah Sarinah yang berdekatan hotel-hotel mewah, kedutaan dan pejabat.

11:45 pagi
Saksi melaporkan tiga letupan bom berani mati berlaku di sebuah kafe Starbucks di pusat bandar Jakarta. Seorang pengawal keselamatan bank mengatakan dia telah melihat sekurang-kurangnya lima penyerang, termasuk tiga pengebom berani mati yang meletupkan diri mereka di situ.. Tri Seranto memberitahu The Associated Press dia melihat tiga lelaki memasuki Starbucks dan  meletupkan diri mereka. Tambahnya, dua penyerang, membawa pistol, memasuki pondok polis dan terdengar bunyi tembakan. Dia kemudian melihat seorang anggota polis terkorban manakala tiga cedera parah. Dirinya tidak cedera kerana jaraknya yang sedikit jauh dari kawasan letupan, tetapi cukup dekat untuk menyaksikan serangan yang berlaku pada 10.30 pagi ( 0230 GMT).

12 tengah hari

Rangkaian TVOne Indonesia  berkata sekurang-kurangnya tiga lagi letupan berlaku di Cikni, Silpi dan kawasan perumahan Kuningan, berdekatan dengan kedutaan Turki dan Pakistan. Tiada  sebarang kemalangan jiwa dalam letupan yang berlaku selepas tiga letupan berlaku di pusat bandar Jakarta.

 12:50 tengah hari

Presiden Indonesia Joko “Jokowi” Widodo, yang sedang mengadakan lawatan kerja di bandar Jawa Barat Cirebon, telah mengarahkan pasukan keselamatan untuk memburu mereka yang bertanggungjawab di sebalik serangan di Jakarta.

Menurut Jokowi, “Saya telah menerima laporan tentang letupan di Jalan Thamrin, Jakarta. Kami mengucapkan takziah kepada mereka yang menjadi mangsa, dan kami juga mengutuk serangan yang menyebabkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat. .”

Beliau turut mengarahkan Ketua Polis Negara dan Menteri Hal Ehwal Politik dan Keselamatan untuk memburu dan menangkap penjenayah dan orang-orang mereka.

Jokowi mengatakan beliau telah memendekkan lawatannya dan akan kembali ke ibu kota secepat mungkin.

12:55 tengah hari

Seorang wartawan Associated Press telah terdengar letupan dari sebuah kafe berhampiran Starbucks yang diserang awal. Letupan itu berlaku selepas kira-kira 25 anggota polis anti keganasan menyerbu kafe. Tiada maklumat tentang apa yang berlaku kepada mereka, tetapi selepas letupan beberapa orang polis dan kakitangan perubatan dilihat bergegas ke kafe.

Dua ambulans juga dilihat memasuki kawasan itu.

1:05 tengah hari

Presiden Indonesia Joko “Jokowi” Widodo berkata dalam satu kenyataan di saluran TV tempatan keadaan adalah terkawal dan menyeru rakyat supaya bertenang.

Menurut Jokowi, “Kita semua tidak perlu takut kepada perbuatan keganasan seperti itu.” Tambahnya, anggota militan Islam yang disyaki meletupkan bom dan melepaskan tembakan ke arah polis di pusat bandar Jakarta sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya seorang anggota polis.  Seorang jurugambar Associated Press melihat tiga lagi mayat terbaring di laluan pejalan kaki .

1:30 tengah hari

Jurucakap polis Jakarta, Kolonel Muhammad Iqbal berkata tujuh orang termasuk empat penyerang terbunuh dalam serangan. Polis menemui mayat seorang penyerang, tetapi masih tidak jelas latar belakangnya kerana ramai lagi yang belum ditangkap. Sekurang-kurangnya tiga letupan menggegarkan pusat bandar Jakarta pada pagi tadi diikuti oleh lebih daripada dua jam sesi berbalas-balas teambakan. Seorang saksi memberitahu The Associated Press bahawa letupan berlaku di kafe Starbucks.

1:50 tengah hari

Menurut Syarikat Starbucks, seorang pelanggan mengalami kecederaan daripada letupan di Jakarta dan dirawat di tempat kejadian manakala semua kakitangan disahkan selamat . Syarikat itu berkata dalam satu kenyataan laporan awal menunjukkan letupan itu berlaku berhampiran dengan sebuah kedai di bangunan Skyline yang berhampiran salah sebuah pondok polis di Jakarta.

“Kami amat sedih dengan tindakan yang tidak masuk akal yang telah berlaku di Jakarta hari ini, hati kami pastinya dengan rakyat Indonesia.”

Semua kedai Starbucks Jakarta masih ditutup sehingga diberitahu kelak.

 

– AP

 

Tinggalkan komen anda