Skip to main content
Berita TempatanHome

PH Tidak Mampu Memperjuangan Hak Orang Melayu, Islam

By 14 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

Oleh: Faris Fuad  KUALA LUMPUR, 14 Jan (Malaysiaaktif) – Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berpendapat Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai oleh PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) tidak mampu memperjuangkan hak penduduk melayu dan agama islam di negara ini.

Beliau berkata pakatan tersebut dianggotai oleh parti yang bertanggungjawab menimbulkan masalah perpaduan kaum berikutan propaganda politik yang diperjuangkan mereka.

Jelasnya, isu tersebut dieksploitasi pihak terbabit untuk meraih kuasa bagi merampas kedudukan dan jawatan pemimpin kerajaan kini.

“Sejak ditubuhkan, PKR tidak memperdulikan kepentingan Melayu manakala DAP pula, sebuah parti rasis yang sentiasa meragui dan mempertikaikan kedudukan orang Melayu di negara ini.

“Jurang perpecahan orang Melayu dan umat Islam semakin ketara berpunca daripada percaturan politik pembangkang yang terlalu gilakan kuasa dengan sanggup mempermainkan sentimen kaum dan agama.

“PH tidak ada kaitan dengan perjuangan orang Melayu, gabungan tesebut merupakan ikatan politik yang terlalu rapuh sekadar untuk meraih kuasa,” katanya menerusi laman blognya, umnobahagiancheras.blogspot.my.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan menegaskan isu membabitkan kepentingan orang melayu dan umat islam hanya sekadar gimik menjelang  PRU ke-14.

Tambahnya, langkah itu hanya dibuat kerana mereka berpendapat ramai penduduk Melayu hanya memberi sokongan kepada parti Umno.

“Kenapa baru semalam pembangkang terutama PKR bercakap mengenai kepentingan anak Melayu?” soalnya.

“Umno sejak mula ditubuhkan telah meletakkan kedudukan dan masa depan orang Melayu sebagai teras perjuangan manakala syariat Islam tetap dipertahankan.

“Kerana asas dan keyakinan itu, Umno sehingga ke hari ini tetap menjadi sebahagian daripada tatacara dan budaya hidup orang Melayu, Umno sudah mendarah daging dalam kehidupan orang Melayu,” tegasnya lagi.

Sebelum ini, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata sudah tiba masanya untuk Pakatan Harapan memberi fokus yang menyeluruh dalam isu yang melibatkan kebimbangan kaum Melayu dalam soal kedudukan dan kebajikan mereka.

Beliau berkata Pakatan Harapan kini tidak lagi boleh bersikap defensif.

“Sekarang kita perlu berhadapan dengan isu realiti iaitu kita perlu menyuarakan kebimbangan Melayu. Sama ada itu propaganda mainan dalam kepala, kita kena yakinkan bahawa kalau Pakatan Harapan menang, kedudukan dan kebajikan Melayu yang majoriti secara keseluruhannya itu lebih baik.

“Sebelum ini kita tidak begitu terbuka bila kita ketengahkan isu-isu Melayu. Kita begitu berhati-hati bercakap soal pentadbiran ekonomi dan kita tak sentuh keseluruhan isu Melayu. Kita tak boleh begitu lagi. Mereka mahu jawapan terang dan kita perlu bagi jawapan terang pun,” kata Rafizi.

Tinggalkan komen anda