Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerakViral

Nasihat Mendalam Sultan Nazrin Kepada Pengamal Media

By 9 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Siti Asmah Mat Ai (Ipoh) / Diyana Zamri (Putrajaya)

IPOH, 9 Jan (Malaysiaaktif) — Pegangan kepada amanah menjadi paksi titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah ketika merasmikan Kompleks Sultan Nazrin Muizzudin Shah di sini semalam.

Baginda mengupas dengan terperinci melalui semangat kesejagatan kebenaran, keadilan, ketepatan dan kesahihan yang menentukan kredibiliti dan integriti sesebuah organisasi media.

Dengan merujuk kepada premis menggarap integriti dan menasihatkan wartawan supaya tidak bersubahat melakukan kemungkaran, Sultan Nazrin seterusnya mengingatkan bahawa bekerja adalah satu fardu kifayah, ibadah yang perlu dilaksanakan dengan sepenuh keluhuran, keikhlasan, kejujuran dan ketelusan agar rezeki yang diperoleh berkat.

 

IMG_5590

 

Baginda seterusnya mengharapkan semoga warga KKMM diberikan petunjuk dan hidayah oleh Allah supaya menjunjung amanah, menggalas tanggungjawab dengan penuh integriti dan tidak sama sekali bersubahat melakukan kemungkaran.

Menurut baginda, era kerajaan maha tahu segalanya sudah berakhir dan zaman di mana institusi penyiaran milik negara berada di puncak sudah melewati senja.

Sultan Nazrin seterusnya merujuk kepada pembacaan ‘trend’ bahawa kredibiliti agensi media dan komunikasi milik negara semakin sehari semakin dipertikaikan.

Kata baginda lagi, pengolahan berita yang keterlaluan memihak, memutihkan yang hitam dan menghitamkan yang putih, tidak memberi manfaat, hanya merugikan dan jika keterlaluan dilakukan oleh institusi media rasmi negara, dibimbangkan perbuatan sedemikian, akhirnya semakin memisahkan rakyat dengan kerajaan.

 

945875_10208640697441942_4550474336757584575_n

 

Sultan Nazrin berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian bangunan pertama di Perak menggunakan nama Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah siap dibina pada 2007 dan kini menempatkan  kira-kira 100 kakitangan Jabatan Penyiaran Perak dan seramai 60 kakitangan Jabatan Penerangan Perak.

Bangunan tersebut, antara lain,  dilengkapi sebuah auditorium dengan kapasiti 500 orang bagi satu-satu masa.

Sementara itu, sempena perasmian kompleks KKMM Perak ini, satu Konsert Diraja ‘Menjunjung Kasih’ akan diadakan di auditorium berkenaan malam ini.

Turut hadir pada majlis ini, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris, Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya  Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambri Abd. Kadir, Menteri KKMM, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak,Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

 

Tinggalkan komen anda