Skip to main content
EkonomiHomeViral

Pengubahsuaian Bajet 2016: BR1M, GST Dikekalkan – PM

By 28 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad

PUTRAJAYA, 28 Jan (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bantuan kerajaan untuk orang ramai, termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan kadar cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebanyak 6% akan dikekalkan.

Beliau berkata pihaknya akan terus meletakkan kebajikan masyarakat sebagai salah satu objektif utama dalam pengubahsuaian Bajet 2016.

“Meskipun situasi ekonomi global dan penurunan harga minyak mentah memberi kesan kepada hasil negara yang dianggarkan berkurangan RM7 hingga RM9 bilion, berbanding dengan unjuran hasil negara pada harga minyak AS$48 setong, kerajaan tidak akan sesekali berkompromi terhadap apa yang betul untuk negara dan rakyat.

“Sesungguhnya, inisiatif ini adalah amat penting untuk mempastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan, dan yang lebih utama, melindungi kebajikan rakyat. Saya pasti, bersama-sama, kita akan berjaya mengharungi sekali lagi cabaran ekonomi ini,” kata Najib dalam Majlis Perutusan Khas Pengubahsuaian Bajet 2016 di PICC, Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan ekonomi negara kini kuat dengan kadar inflasi yang lebih stabil.

Jelasnya, kerajaan juga telah membantu orang ramai, terutama golongan yang berpendapatan rendah dengan menyediakan pelbagai bantuan rakyat.

“Hasil mahsulnya, daripada sekian banyak inisiatif dan program transformasi, Alhamdulillah, pertumbuhan ekonomi negara terus ampuh dengan purata KDNK 5.6 peratus, mengurangkan defisit fiskal Kerajaan daripada 6.7 peratus kepada 3.2 peratus, serta kadar inflasi yang terkawal.

“Kemiskinan tegar telah hampir disifarkan. Selain itu, sejumlah 1.8 juta peluang pekerjaan telah berjaya diwujudkan, serta memperkenalkan inisiatif dan program rakyat 1 Malaysia seperti BR1M, Baucar Buku 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, juga program perumahan mampu milik,” tegasnya lagi.

 

Tinggalkan komen anda