Skip to main content
EkonomiHomeViral

Rumah RM300 Ribu Hanya Untuk Pembeli Pertama – Najib

By 28 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad

PUTRAJAYA, 28 Jan (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan pihaknya akan memastikan kesemua penjualan  rumah berharga sehingga RM300,000 hanya terhad kepada pembeli rumah pertama sahaja.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata langkah tersebut akan dilaksanakan serta-merta ke atas projek perumahan baharu.

“Kerajaan mengadakan Jelajah Ekspo Pemilikan Rumah Bersepadu, meliputi rumah yang ditawarkan oleh JPN, PR1MA, SPNB, PPA1M, agensi negeri serta sektor swasta. Lebih 100 ribu unit rumah akan ditawarkan dalam program ini,” katanya dalam Majlis Perutusan Khas Pengubahsuaian Bajet 2016 di Putrajaya hari ini.

Manakala bagi Projek Perumahan Rakyat yang berharga RM35,000, Najib memaklumkan pembelian tersebut boleh dibuat menerusi Bank Simpanan Nasional dan Bank Rakyat.

Jelasnya, bank terbabit  akan menawarkan pakej pembiayaan pada kadar 4 peratus dengan dana berjumlah RM400 juta, bermula 1 Mac tahun ini.

“Inisiatif ini akan memanfaatkan sejumlah lebih daripada 10 ribu pemilik rumah,” katanya lagi.

Sebelum ini, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) yakin Bajet 2016 dapat memperkasa dan mengukuhkan sektor pembangunan hartanah negara secara mapan menerusi penubuhan Dana Promosi bagi Sistem Bangunan Berindustri (IBS) sebanyak 500 juta.

Presidennya, Datuk Seri FD Iskandar FD Mansor berkata, penubuhan dana itu juga dijangka meningkatkan produktiviti dan perolehan dalam sektor hartanah tempatan sekali gus merancakkan pertumbuhan industri berkenaan dengan cemerlang.

Beliau berkata Bajet itu juga dijangka merangsang pemilikan rumah khususnya golongan pertengahan menerusi peruntukan sebanyak RM200 juga di bawah Skim Pembiayaan DEPOSIT Rumah Pertama.

 

Tinggalkan komen anda