Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraEkonomiHomePulau PinangViral

PIP Pulau Pinang Boleh Rancak Ekonomi, KDNK

By 22 Januari 2016Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh Lee Guan Hooi (Georgetown)

GEORGETOWN, 22 Jan (Malaysiaaktif) – Pelan Induk Pengangkutan (PIP) dijangka boleh merancakkan ekonomi dan memberi pertambahan 15 peratus pertumbuhan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Pulau Pinang dalam tempoh 15 tahun pertama, termasuk menjana sebanyak 460,000 pekerjaan.

Wakil SRS Konsortium Rakan Pelaksana Projek kerajaan negeri, Azmi Mohammad berkata demikian ketika menyampaikan taklimat di Sesi Penerangan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Khas bertempat di Komtar semalam.

Menurut beliau, tanah kepunyaan kerajaan negeri akan digunakan untuk tebus guna laut di Selatan Pulau Pinang bagi menjana dua buah pulau buatan. Seterusnya, pulau-pulau tersebut akan dibuka untuk bidaan bagi membiayai pembangunan projek PIP.

Azmi turut menekankan bahawa beberapa kajian Detailed Environment Impact Assessment (DEIA) sedang dijalankan. Antaranya, kesan terhadap marin dan alam sekitar, kesan terhadap arus dan mendapan dan kesan terhadap sosial ekonomi nelayan. Selain itu, Fishery Impact Assessment (FIA) turut dijalankan.

SRS Konsortium terdiri daripada Gamuda 60%, Ideal Property Development Sdn Bhd 20% dan Loh Poh Yen Holding Sdn Bhd 20%.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hj. Farizan Darus dalam ucapannya berkata, beberapa siri penerangan PIP berjaya dianjurkan bertujuan untuk menyampaikan mesej pelaksanaan PIP daripada sumber yang sahih.

Seramai 200 orang penjawat awam dari jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan menghadiri Sesi Penerangan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Khas anjuran Kerajaan Negeri itu.

 

Tinggalkan komen anda