Skip to main content
EkonomiHomeViral

Sistem Tadbir Kewangan Lebih Mantap Dengan TPPA – IDEAS

By 22 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Malaysiaaktif) – Hasil kajian Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) ke atas Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) mendapati perjanjian itu akan memberi impak positif dari segi tadbir kewangan negara.

Ketua Eksekutif IDEAS, Wan Saiful Wan Jan berkata kajian yang dilaksanakan bertajuk ‘Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA): Pemangkin Pembaharuan Tadbir Urus Negara’ dapat digunakan Ahli-ahli Parlimen sebagai sumber rujukan untuk mempengaruhi persepsi mereka terhadap pelaksanaan perjanjian itu.

Menurutnya, TPPA akan dapat meningkatkan  akauntabiliti negara dan memastikan sistem perolehan lebih telus dan mantap.

“TPPA adalah satu peluang yang sangat berharga untuk Malaysia bagi menangani kelemahan tadbir urus, seperti masalah rasuah dan sistem perolehan kerajaan yang masih belum sempurna.

“Tatkala kemahuan politik untuk menjadi lebih baik kini semakin lemah, TPPA boleh menjadi pemangkin penting untuk memastikan negara kita kembali ke landasan yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, TPPA akan menghasilkan beberapa faedah penting terutama dalam bentuk sosiopolitik.

Tambahnya, semua perkara itu perlu diambil kira sebelum membuat keputusan sama ada ia wajar atau tidak untuk perjanjian itu ditandatangani.

“Kertas kajian kami membicarakan faedah-faedah ini dan kami menyeru ahli-ahli parlimen menyokong cadangan agar Malaysia menandatangani TPPA.

“TPPA adalah satu langkah ke arah yang betul untuk memastikan usaha penambahbaikan tadbir urus Negara akan terus berjalan,” ujarnya.

Perjanjian TPPA akan dibahaskan semasa sesi khas Dewan Rakyat pada 26 dan 27 Januari akan datang, dan Dewan Negara pada 28 Januari.

 

Tinggalkan komen anda