Skip to main content
Berita TempatanHome

Rakyat Perlu Bijak Memilih Pemimpin Negara – Rafizi

By 14 Januari 2016Tiada komen1 minit bacaan

Oleh : Faris Fuad  KUALA LUMPUR, 14 Jan, (Malaysiaaktif) –Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli menasihatkan orang ramai untuk lebih bijak menilai kredibiliti pemimpin demi masa depan mereka.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan itu berpendapat rakyat perlu menjadikan ia satu budaya agar individu yang terbaik sahaja akan mentadbir negara.

“Tetapi, untuk bertahun-tahun lamanya, kita hidup dalam budaya di mana hanya yang bodoh menjadi menteri,” katanya dalam forum bertajuk “Mampukah parti pembangkang meraih undi Melayu pada PRU14”, semalam.

Dalam pada itu, beliau menyentuh isu jurang antara kaum ketika zaman Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Al-Haj.

Katanya, ia berlaku apabila kerajaan berkuasa menempatkan
orang Melayu di kampung, orang Cina di bandar dan kaum India di ladang.

Selain itu,kaum Cina juga diberikan pendidikan yang lebih baik berbanding kaum Melayu.

“Jadi, ia bermula daripada dasar penjajah kita, tetapi selepas 60 tahun, kita gagal memperbaiki perbezaan yang ditinggalkan mereka. Wujud jurang yang hampir sama hari ini.

“Soal ekonomi, bagi saya, akhirnya akan kembali kepada pendidikan, akses kepada pendidikan, kualiti pendidikan dan jenis pelajar yang kita lahirkan.

“Sekarang, sistem kita melahirkan pelajar yang kurang yakin, serta mempunyai budaya atau mentaliti mereka perlu bergantung kepada kuasa dan sebagainya,” tegasnya lagi.

Menurutnya, Pakatan Harapan akan memastikan usahawan Melayu akan diberikan platform yang sepatutnya untuk berniaga.

“Ini adalah gambaran lebih besar. Kerana, jika tiada akses, orang Melayu muda yang pintar tidak akan ada peluang,” katanya.

Tinggalkan komen anda