Skip to main content
Berita TempatanSabah

Pengakap Puteri Kyoto Jepun Akan Lawat Pandu Puteri Sabah

By 24 Februari 2016Tiada komen1 minit bacaan

 

 Oleh  Asmidar Zainol (Sabah)

 KOTA KINABALU, 24 Feb 2016 (Malaysiaktif) –? Seramai 20 delegasi Pengakap Puteri Kyoto, Jepun dijangka akan mengadakan lawatan ke Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sabah pada 26 Mac depan.

Yang Di-Pertua Cawangan, Datuk Naomi Chong Set Mui berkata lawatan delegasi tersebut bertujuan memberi peluang dan pendedahan kepada kedua-dua persatuan saling mengenali adab serta budaya antara dua negara.

“Pandu Puteri Sabah merancang akan memperkenalkan beberapa aktiviti seperti anak angkat, pengenalan makanan dan permainan tradisi masyarakat tempatan.

Manakala, Pengakap Puteri Kyoto  memperkenalkan adab dan budaya mereka seperti cara-cara pemakaian baju tradisi Kimono dan acara tradisi minum teh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media semalam selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Hajah Norlidah R.M. Jasni yang juga merangkap penaung persatuan itu.

Mengulas tujuan kunjungan, katanya, adalah untuk memberi penerangan ringkasan aktiviti yang telah berjaya dilaksanakan pada tahun 2015 dan perancangan aktiviti 2016.

“Antara aktiviti yang akan diadakan adalah Karnival Hari Peringatan Pandu Puteri 2016 dan Lawatan oleh Pengakap Puteri Kyoto, Jepun.

Sementara itu, menurut Naomi, Karnival Hari Peringatan bakal dianjurkan pada 13 Mac di Wisma Pandu Puteri bagi memupuk nilai-nilai keusahawanan kepada ahli-ahli persatuan.

Katanya lagi, bazar jualan turut akan diadakan oleh Pasukan Pandu Puteri Kota Belud, Kota Kinabalu, Tuaran, dan Beaufort.

“Berbagai program yang dirancang, diharap dapat mengasah bakat ahli persatuan dan memberi pengalaman sebagai persediaan kepimpinan pada masa hadapan,“ katanya.

 

Tinggalkan komen anda