Skip to main content
HomeViral

PM Hadir Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Anjuran MCA

By 8 Februari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 8 Feb — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menghadiri majlis itu yang diadakan di Wisma MCA, Jalan Ampang, di sini.

Ketibaan Najib, Rosmah dan Ahmad Zahid, dengan berpakaian warna merah di perkarangan Wisma MCA, disambut barisan kepimpinan tertinggi MCA diketuai Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai, sambil diiringi persembahan tarian singa.

Najib, Rosmah dan Ahmad Zahid yang meluangkan masa lebih sejam di majlis itu, bersama-sama beberapa pemimpin tertinggi komponen Barisan Nasional (BN) termasuk Liow, Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam turut menggaul ‘yee sang,’ hidangan utama musim perayaan yang dianggap juadah membawa tuah dalam kalangan masyarakat Cina.

Turut hadir memeriahkan majlis sambutan termasuk Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong.

Tetamu pelbagai bangsa serta pelancong asing turut hadir memeriahkan rumah terbuka itu yang menghidangkan pelbagai juadah dan persembahan kebudayaan, nyanyian dan seni mempertahankan diri.

Najib ketika ditemui pemberita memberi ucapan ringkas Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya masyarakat Cina.

Tahun Baharu Cina tahun ini (2016) dalam zodiak Cina ialah Tahun Monyet Api, ia merupakan perayaan terpenting masyarakat Cina bagi menyambut ketibaan tahun baharu dalam kalendar Lunar.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda