Skip to main content
Berita TengahHomeSelangorViral

Saya Tiada Niat Persendakan Agama Islam – ADUN Paya Jaras

By 10 Februari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

SHAH ALAM, 10 Feb — Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman hari ini sekali lagi memohon maaf dan menegaskan bahawa beliau tiada niat mempersendakan agama Islam berikutan kesilapannya berpakaian menyerupai dewa Cina, Dewa Cao Guo Jiu pada sambutan Tahun Baharu Cina di Sungai Buloh, Ahad lepas.

Sebaliknya beliau berkata, kehadirannya pada program kemasyarakatan Cina itu hanya semata-mata atas kapasitinya sebagai ADUN dan bukan berniat untuk menyertai sebarang aktiviti keagamaan.

“Itu program kemasyarakatan Cina, program bantuan dan edar limau sempena Tahun Baharu Cina…semua orang buat. Cuma bezanya saya pakai baju maharaja (yang didakwa menyerupai Dewa Cao Guo Jiu).

“Masyarakat juga sebahagian daripada tugas kami, malah Dewan Himpunan (Penyokong PAS) juga sebahagian daripada kami, tetapi kalau saya tersilap pandangan, saya mohon maaf,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Mohd Khairuddin dalam pada itu berharap isu itu tidak terus diperbesar dan dipanjangkan serta memohon diberi ruang untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.

Foto Mohd Khairuddin yang juga Setiausaha PAS Selangor berpakaian menyerupai Dewa Cao Guo Jiu dalam satu majlis sambutan Tahun Baharu Cina di Wangsa Permai dekat Sungai Buloh pada Ahad lepas, menjadi viral dan dipertikaikan banyak pihak kerana dianggap tidak sensitif dengan kedudukannya sebagai pemimpin dan wakil rakyat sebuah parti Islam.

ADUN Paya Jaras itu dalam kenyataan susulannya, telah memohon maaf dan menjelaskan bahawa beliau mengenakan pakaian berkenaan selepas penduduk di situ memaklumkan ia adalah pakaian ala Maharaja China.

“Keyakinan saya bahawa perayaan Chinese New Year adalah berbentuk perayaan masyarakat Cina, dengan sebab itu saya percaya pakaian itu adalah budaya dan ia tidak ada kena mengena dengan agama.

“Sebagai menghormati majlis budaya bangsa lain, saya tak menolak untuk memakainya. Saya serahkan isu ini kepada kepimpinan pusat untuk putuskan kedudukan saya dan kalau saya tersalah dari segi hukum, saya mohon keampunan daripada Allah dan saya mohon maaf jika ada yang tersinggung,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad dalam kenyataan pula berkata PAS memerlukan satu garis panduan terperinci mengenai budaya dan agama masyarakat bukan Islam.

Tambahnya, beliau akan mengarahkan Dewan Ulama PAS Selangor dan Lajnah (Biro) Perpaduan Nasional PAS Selangor menghasilkan kajian serta garis panduan tersebut kerana ia penting bagi PAS di negeri itu yang berinteraksi dengan masyarakat bukan Islam sepanjang masa.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda