Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeTerengganu

BN Terengganu Yakin Kepimpinan Najib – Ahmad Razif

By 7 Mac 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Nabilahaishah Tawang (Kuala Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 7 Mac (Malaysiaaktif) — Pergolakan politik dalaman Umno yang sedang hangat berlaku tidak menjejaskan keyakinan Barisan Nasional (BN) Terengganu malah terus setia berada di bawah pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Pengerusi BN negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd.Rahman berkata BN negeri Terengganu tetap memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri selaras dengan ajaran Islam yang mewajibkan rakyat untuk mentaati pemimpinnya.

Katanya, parti BN telah membuktikan kehebatan serta kecemerlangan dalam memajukan negara serta menyatupadukan rakyat pelbagai kaum sejak pemerintahan Perdana Menteri yang pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman.

“Perlu bagi parti kita yang masih kuat dan teguh agar terus berada bersama Dato’ Sri Mohd Najib walaupun pelbagai tohmahan serta badai yang melanda sekarang”, katanya pada sidang media selepas majlis Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri ke-13 di Wisma Darul Iman hari ini. Sidang media itu turut dihadiri pemimpin parti-parti komponen BN negeri Terengganu.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, Umno sebagai parti teras di dalam BN perlu dipertahankan kerana hanya parti itu sahaja yang mampu mempertahankan hak orang Melayu serta menjaga kepentingan kaum lain di negara ini.

“Sekiranya perjuangan tersebut tidak dititikberatkan malah ditentang oleh mana-mana ahli parti Umno, lebih baik ia berundur sahaja”, ujar Ahmad Razif.

Beliau juga mengatakan bahawa perbuatan yang bertentangan dengan agenda dan prinsip BN perlu dikenakan tindakan disiplin yang tegas termasuk mereka yang bersekutu dengannya.

Sehubungan itu, rakyat juga perlu meletakkan kepercayaan tanpa ragu kepada pucuk kepimpinan BN supaya perjalanan pentadbiran khususnya negeri Terengganu dalam jangka masa terdekat dan hadapan berjalan dengan lancar.

Beliau juga menggesa pemimpin dan ahli BN tidak cepat melatah dan bijak menangkis tohmahan serta tenang menghadapi cabaran bagi memastikan kuasa pemerintahan tidak terlepas ke tangan orang lain.

Tinggalkan komen anda