Laporan dan Foto Anuar Che Amat (Kangar)
KANGAR, 7 Mac (Malaysiaktif) — Keceriaan terpancar di wajah 20 orang pengayuh beca dari Kelab Pemilik Beca Melaka setelah selesai menamatkan kayuhan sejauh 747 kilometer bermula dari Melaka ke Padang Besar Utara, Perlis.
Kayuhan beca berhias yang mengambil masa selama 13 hari ini di lepaskan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron pada 23 Februari lepas di Dataran Taming Sari, Bandar Hilir Melaka. Konvoi beca ini merentasi beberapa negeri, termasuk Negeri Sembilan, Kuala Lumpur,Selangor, Perak, Kedah dan berakhir psemalam di Padang Besar Utara.
Majlis Perasmian penutupan Kayuhan Beca Melaka 2016 berlangsung di Arked MARA, Padang Besar Utara dan disempurnakan oleh Ketua Polis Perlis, SAC Shafie Ismail.
Dalam ucapannya beliau berkata program ini mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri, kementerian pelancongan dan pihak berkuasa tempatan.
Program ini bertujuan mempromosikan beca Melaka sebagai pengangkutan utama pelancongan di negeri Melaka dan pada masa yang sama ia dicatatkan di dalam “Malaysia Book Of Record” .
Peserta konvoi kayuhan beca ini melibatkan lelaki dan wanita dan dibantu oleh lebih 20 orang pengiring, termasuk Polis dan Rela.