
Oleh Fauzrina Hj Bulka (Melaka)
MELAKA, 24 Mac (Malaysiaaktif) — Individu yang mempunyai keluarga atau kenalan Orang Kurang Upaya (OKU) disaran membawa mereka ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhampiran untuk mendaftar kerana pelbagai kelebihan dan faedah yang bakal diperoleh.
Pegawai Unit OKU, JKM Melaka Tengah Zulkamal Abidin berkata, pelbagai kelebihan yang ditawarkan oleh JKM dikemaskini setiap tahun untuk kemudahan mereka.
“OKU yang berdaftar akan mendapat potongan harga 20 peratus pembelian rumah daripada Syarikat Perumahan Negara Berhad bermula tahun ini,”katanya.
Tambahnya, Ibu bapa yang mempunyai anak OKU disaran mendaftar seawal usia bayi dengan hanya melengkapkan borang permohonan dan mendapatkan pengesahan daripada pegawai perubatan sebelum mendapat kad perakuan khas dalam tempoh sebulan.
“Kanak-kanak OKU akan mendapat elaun sebanyak RM150.00 apabila memulakan alam persekolahan sehingga berumur 18 tahun, dan kemudian akan mendapat elaun sebanyak RM350.00 jika memperoleh gaji dibawah RM1200.00 kerana JKM sangat menggalakkan mereka untuk bekerja,”katanya.
Tambah Zulkamal, tiada caj dikenakan jika mendaftar ataupun jika kehilangan kad dan JKM akan memperbaharuinya secara percuma. Apa yang lebih penting, setelah mengenalpasti bilangan dan taburan OKU mengikut kategori keupayaan, JKM dapat merancang program pemulihan, latihan dan pendidikan yang sesuai kepada mereka serta menyediakan perkhidmatan dan kemudahan yang bersesuaian.
Zulkamal berkata demikian kepada Malaysiaaktif semasa Program Sambutan Hari Sindrom Down Sedunia anjuran Seameo Sen di Mahkota Parade di sini pagi tadi.