Skip to main content
Berita TempatanMelaka

Jualan Jajan Di Luar Sekolah Perlu Lebih Pemantauan

By 8 Mac 2016Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh Salina Hasan @ Abd. Rashid (Melaka)

MELAKA, 8 Mac (Malaysiaaktif) — Para peniaga makanan ringan atau lebih dikenali sebagai jajan di luar perkarangan sekolah secara berleluasa perlu diberi lebih pemantauan pelbagai pihak terutamanya oleh pihak sekolah.

Peniaga makanan ringan ini dilihat menjual makanan yang rata-ratanya tidak berkhasiat dan mengandungi kandungan gula dan bahan pewarna yang tinggi dengan hanya berpaksikan kepada melariskan jualan dan meningkatkan keuntungan.

Hasil tinjauan Malaysiaaktif, makanan ringan dijual secara berleluasa di luar sekolah sekitar Bandar Jasin. Hal ini sewajarnya mendapat perhatian sama ada daripada pihak pentadbir sekolah mahupun pengurusan atasan.

Kanak-kanak yang mengambil makanan tidak berkhasiat secara berlebihan mempunyai risiko tinggi Untuk pelbagai masalah kesihatan terutamanya diabetes dan jika setiap hari dihidangkan, ia akan menjadi suatu kelaziman dalam amalan pemakanan mereka.

Ibu kepada seorang pelajar di sini, Azreen Ahmad, 36, berkata ketegasan pihak berkuasa tempatan  memang diperlukan terhadap penjaja kecil kerana anak-anak sudah pasti terpengaruh untuk membeli  kerana pada pendapat mereka, jajan menarik perhatian dan menyelerakan.

Menurut bapa kepada seorang lagi pelajar, Airul Azhan Pain, 43, pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dengan kerjasama pihak sekolah perlu memantau kehadiran penjaja ini kerana semakin ramai yang berniaga dan mengambil kesempatan terhadap kenaifan anak-anak kecil.

Peranan ibu bapa di rumah dan peranan pihak sekolah perlu disinergikan untuk memberikan yang terbaik untuk anak-anak dalam proses tumbesaran mereka.

 

Tinggalkan komen anda