Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerakViral

Sultan Nazrin Beri Amaran Anugerah Dato’ Palsu

By 16 Mac 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh Nursyadatul Mohd Shafie (Ipoh)

IPOH, 16 Mac (Malaysiaaktif) – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semalam bertitah bahawa Penganugerahan Dato’ Seri dan Dato’ secara komersial yang semakin rancak dijalankan kebelakangan ini adalah satu penipuan yang mencemarkan Institusi-institusi Raja, Istana dan kerajaan.

Titah baginda, tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang terlibat kerana penganugerahan palsu berkenaan diwujudkan tanpa pengiktirafan rasmi daripada kerajaan negeri di samping berlaku penyalahgunaan kuasa oleh mereka yang membeli anugerah berkenaan.

Sultan Nazrin juga bertitah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan penerima Darjah Kebesaran Palsu itu turut menuntut layanan istimewa sewaktu berurusan dengan agensi-agensi kerajaan, malah ada dalam kalangan mereka yang melakukan perkara-perkara yang melanggar undang-undang.

PDRM juga telah mendedahkan nama individu tertentu yang mempunyai hubung kait sejarah dengan kerabat Diraja Perak serta terlibat secara langsung dalam aktiviti ini.

“Beta telah menzahirkan ketegasan bahawa undang-undang wajib dilaksanakan tanpa gentar, tanpa pilih kasih. Undang-undang hendaklah dikuatkuasakan secara saksama tanpa memberi keistimewaan atau imuniti kepada sesiapa sahaja,” titah baginda ketika sidang media Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-165 di Istana Iskandariah Kuala Kangsar.

Baginda juga menegaskan bahawa anugerah sesuatu Darjah Kebesaran dan pengurniaan Pingat atas nama Negeri Perak Darul Ridzuan, terletak di bawah budi bicara Raja pemerintah tanpa sebarang bayaran serta tidak disyaratkan untuk memberi apa-apa sumbangan derma dalam bentuk material atau kewangan.

Di samping itu, Sultan Nazrin turut menyeru agar orang awam yang ditawarkan Anugerah Kebesaran Negeri Perak dengan kadar bayaran tertentu untuk melaporkan aktiviti berkenaan kepada PDRM agar masalah ini dapat dihentikan dengan segera.

 

Tinggalkan komen anda