Skip to main content
Berita TempatanHomeSabahViral

422 Belia Sertai NBYC 2016

By 16 Mac 2016Tiada komen1 minit bacaan

 

 Oleh Tseu Chung Yee (Sabah) 

KENINGAU, 16 Mac 2016 (Malaysiaktif) –? Seramai 422 belia daripada 16 buah sekolah menengah di seluruh Sabah bersatu dalam program Majlis Penutup ‘North Borneo Youth Camp’ (NBYC) 2016 yang diadakan di Taman Rekreasi Bandukan Bingkor, Keningau, Sabah semalam.

Menurut Pegawai Daerah Keningau, Haji Yusop Hj. Osman, perkhemahan ini bertujuan untuk menerapkan nilai setia kawan, saling mengenal budaya etnik di samping melakukan aktiviti riadah bersama dalam membentuk belia Sabah yang progresif.

Beliau yang juga Penasihat Kelab Belia berharap agar agensi kerajaan dan swasta turut sama membantu menjayakan program anjuran Kelab Belia ini demi pembangunan belia berterusan di negeri Sabah khususnya di daerah Keningau.

Perkhemahan empat hari yang bermula pada 12 Mac dan berakhir semalam ini berjaya mencipta keunikan tersendiri kerana memberi pendedahan kepada peserta dalam aspek mengenal budaya antara peserta yang datang dari daerah seluruh Sabah.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Belia Keningau, Rafie Robert berkata penganjuran kali ketiga ini telah mencatatkan peningkatan peserta bermula dengan 200 (2014), 360 (2015) manakala 422 orang pada tahun ini.

NBYC 2016 turut dijayakan oleh Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Keningau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) IPD Keningau, Agensi Antidadah Kebangsaan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Jabatan Penerangan Malaysia dan Ahli Parlimen Belia Malaysia.

Tinggalkan komen anda