
Oleh Muhamad Zaini Dollah
KEPALA BATAS, 17 Mac (Malaysiaaktif) – Dalam orang ramai mengelak aktiviti luar kerana bahang fenomena El-Nino, ada yang sanggup berpanas di bawah terik matahari semata-mata untuk mencari rezeki halal.
Talib Hashim, 63, ditemui wartawan Malaysiaaktif ketika sedang menjaring ikan di Permatang Che Tak, Kepala Batas semalam.
Menurut Talib walaupun sedar keadaan cuaca yang panas dan kering kini agak membataskan aktivitinya, namun kerja ini tetap diteruskan untuk menampung pendapatannya sekeluarga.
Faktor usia serta kurang kemahiran menyebabkan Talib memilih untuk menangkap ikan darat dengan menggunakan jaring di parit tali air sawah, ujarnya yang kini menetap di Permatang Tok Gelam, Kepala Batas.
Setiap hari Talib keluar untuk menangkap ikan darat seperti Haruan, Keli, Sepat dan Puyu untuk dijual kepada penggemar ikan darat di Pasar Kepala Batas. Setakat ini hasil tangkapannya masih tidak begitu terjejas walaupun cuaca agak panas.
Tambahnya, harga bagi sekilo ikan Haruan sekitar RM20.00, Puyu dan Sepat pula RM12.00 manakala Keli kampung sekitar RM15.00 mampu memberikan pulangan memuaskan dengan purata pendapatan RM60.00 sehari.
Talib yang juga merupakan seorang pesara kerajaan di Hospital Kepala Batas bertegas selagi bertenaga dan diberi kesihatan dia akan terus mengerah tenaga empat kerat menangkap ikan darat sebagai punca rezekinya.