Skip to main content
Berita TempatanMelaka

UCAM Beri Penekanan Kepada TVET Sebagai Nilai Tambah

By 9 Mac 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Fauzrina Hj Bulka (Melaka)

MELAKA, 8 Mac (Malaysiaaktif) — Tahun ini Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) mensasarkan seramai 500 orang generasi muda pekebun kecil terlibat dalam Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang antaranya seperti Teknikal Pertanian, Perladangan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Bakeri dan Salun.

“Program seumpama inilah yang dapat membantu generasi muda untuk diketengahkan sebagai nilai tambah bagi menjana sumber pendapatan dalam industri pekerjaan,” ujar Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil dan Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Tambah beliau, sejak lima tahun kebelakangan ini, UCAM telah berjaya melatih seramai 1,200 orang anak generasi muda luar bandar dalam program TVET dan pelajar-pelajar ini beruntung kerana RISDA turut menawarkan biasiswa di bawah Tabung Pembangunan Sosio Ekonomi Pekebun Kecil bagi membantu mereka meneruskan pengajian sehingga berjaya.

Menurutnya lagi, anak-anak generasi muda diberi peluang melanjutkan pelajaran dan memajukan negara dalam bidang pertanian dan perladangan dan ini dapat membantu kerajaan mengurangkan kebergantungan import makanan dari negara luar yang dibelanjakan sebanyak RM39 billion setiap tahun.

“Program pertanian organik yang dikenali sebagai UCAMFarm bakal menjadi pusat jualan untuk pelajar memasarkan produk pertanian dan ladang UCAM yang meliputi benih tanaman seperti jagung, melon, ternakan ayam, ikan dan sayuran,” katanya.

“UCAM berjaya menjadi katalis dengan meneroka bidang pertanian dengan lebih jauh lagi dengan meningkatkan nilai tambah kepada usahawan pertanian dan perladangan serta menjadi wahana untuk melahirkan teknokrat dalam agroindustri di dalam negeri dan luar negara,” jelasnya di Majlis Perasmian Penubuhan Kolej Universiti Agrosains Malaysia di Alor Gajah siang tadi.

Tinggalkan komen anda