Skip to main content
HomeRencana & Pendapat

Pas Berpendirian Teguh, Tolak Agenda Jatuhkan Najib

By 9 Mac 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Pendirian Pas tidak mahu bersekongkol dengan mana-mana pihak termasuk bekas pemimpin UMNO yang mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui cara tidak demokratik adalah manifestasi kematangan politik Pas. Sebagai sebuah parti berjenama Islam, Pas tentu arif bahawa Islam tidak mengajar umatnya menggulingkan seseorang pemimpin atau kerajaan secara tidak sah. Menurut Presiden Pas, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang, pemimpin atau kerajaan sedia ada mesti  diturunkan secara demokratik, iaitu melalui proses pilihan raya atau peti undi.

Ketua Penerangan Pas pusat, Ustaz Nasrudin Hassan pula berkata Pas berpegang kepada konsep ‘muwajah silmiyah’, iaitu mengambil pendekatan  secara aman dan damai. Walaupun Pas berbeza ideologi politik, namun proses menukar pemimpin atau sesebuah kerajaan mestilah dibuat melalui saluran demokrasi berasaskan Perlembagaan.

Pendirian kukuh Pas yang berpegang kepada prinsip kedamaian telah mendorong parti itu tidak menyertai majlis menandatangani deklarasi rakyat yang diketuai Tun Dr, Mahathir Mohamad baru-bari ini. Deklarasi itu menuntut penyingkiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri. Pas juga telah membuat keputusan tidak akan menyertai perhimpunan tertutup memprotes pentadbiran Najib pada 27 Mac nanti.

Jelaslah bahawa Pas sejak keluar dari pakatan pembangkang bukan lagi parti yang boleh diperbudakkan oleh mereka yang berniat jahat terhadap kerajaan. Sewajarnya kita “tabik” kepada pendirian Pas itu yang berpegang kepada amalan dan pendekatan budaya politik matang. Pas percaya bahawa pendekatan ini harus dijadikan formula terbaik untuk melakukan perubahan total dalam sistem pentadbiran negara.

Pada hemat penulis, sikap Pas ini satu permulaan yang baik ke arah perpaduan ummah yang lebih mantap di negara ini. Walaupun Pas masih menegaskan bahawa UMNO masih menjadi musuh politiknya, namun  kita optimis  bahawa pemimpin Pas bersedia untuk berbincang dengan pemimpin UMNO demi kepentingan ummah di negara ini.

Haji Hadi sendiri pernah menegaskan bahawa Pas bukan hendak berebut kuasa. Menurutnya, Pas diasaskan bukan atas budaya permusuhan selagi mana pihak lain tidak memusuhi Islam. Pas bersedia untuk  bekerjasama dengan sesiapa, hatta dengan UMNO sekalipun selagi mana ia menguntungkan negara dan untuk kesejahteraan rakyat.

Pas sudah mendapat pengajaran yang cukup berharga ketika bersama DAP dalam Pakatan Rakyat dulu. Ketika krisis DAP dan Pas tahun lalu, parti sosialis itu menuduh Pas yang membuat onar dalam Pakatan Rakyat, sedangkan hakikat sebenarnya  parti cauvinis itulah yang menjadi punca kemusnahan pakatan pembangkang itu.

DAP sengaja mahu menyingkirkan Pas kerana tidak bersetuju dengan ketegasan Pas untuk memperjuangkan hukum hudud, selain marahkan Pas yang enggan menyokong penyingkiran Khalid untuk digantikan dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Akhirnya Pakatan Rakyat yang diwujudkan pada 1 April 2008 dibubarkan pada Jun tahun lalu. Lim Guan Eng menuduh  PAS melalui Muktamar ke-61 telah “membunuh” Pakatan Rakyat. Ketika krisis itu, Mat Sabu yang telah ditolak perwakilan Pas dalam muktamar  itu telah diperkuda DAP untuk menubuhkan parti baharu, iaitu Parti Amanah Negara (AMANAH) yang dipimpinnya sekarang ini.

Bagi DAP, AMANAH yang ditubuhkan atas proksi partinya itu diharapkan dapat menggantikan Pas  untuk menarik sokongan Melayu. Jika dulu, Mat Sabu yang pernah bersama dalam perjuangan Pas begitu bersemangat memperjuangkan hukum hudud, namun hari ini belia sudah sealiran dengan DAP untuk menolak hudud yang diperjuangkan Pas. Majoriti orang Melayu menyedari hakikat ini. Justeru, parti itu tidak akan bertahan dalam persada politik tanah air dan akan menerima nasib yang sama seperti yang dialami oleh Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim).

Apa pun, sikap Pas yang semakin matang dalam politik dilihat membuka ruang yang lebih cerah  ke arah kerjasama dengan UMNO. Kerjasama inin tidak mustahil menjadi kenyataan  kerana kedua parti itu mempunyai banyak persamaan terutamanya dari segi pegangan akidah. Yang berbeza ialah uslub atau manhaj perjuangan menobatkan Islam di negara ini.

 

_________________________________________________________

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan dasar Editorial Malaysiaaktif

 

Tinggalkan komen anda