Skip to main content
Berita TempatanSabah

Zirah Dapat Bantuan Jalani Pembedahan ‘Hidrosefalus’

By 4 Mac 2016Mac 6th, 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Zamlan Ramle, Mohd Yusrie Othman & Fezieana Anak Rajasmi (Sabah)

BEAUFORT, 4 Mac (Malaysiaktif) –? Adik Zirahzahana Binti Jakaria, setahun, menghidap penyakit Hidrosefalus iaitu lebihan cecair di kepala mendapat bantuan sumbangan RM3,000 dari Penasihat Kelab Anggota Jabatan Penerangan Sabah (KAPSA), Datuk Mohd Saidi Haji Sariah di kg.Menanjung, Kebulu, Beaufort, pagi tadi.

Beliau juga merupakan Pengarah Urusan Empayar Emas Industries Sdn Bhd terpanggil untuk menghulurkan bantuan tersebut bagi memudahkan urusan rawatan pembedahan yang sepatutnya dilakukan pada 24 Februari lalu tertangguh disebabkan masalah kewangan.

Menurut ibunya, Siti Lahminah Binti Juali, 31, penyakit anaknya disahkan oleh pihak Hospital Beaufort melalui Dr.Phua Thye Soon bulan lalu.

“Zirah merupakan seorang anak yang aktif bermain dengan abang dan kakaknya, masing-masing berumur 9 dan 6 tahun tapi kerap jatuh disebabkan hilang keseimbangan badan, namun selera makan dan kekerapan menyusu amat baik tiada masalah.

“tetapi sebelah malam zirah sering menangis disebabkan rasa tidak selesa,”Katanya lagi.

Ayah Zirah, Jakaria Bin Daud, 37, memaklumkan beliau dan rakannya Matbidin Jiris dan Md Shapardin Md Sari telah memohon bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan wakil rakyat, tapi masih belum mendapat sebarang maklumbalas.

Buntu tanpa ada perkembangan daripada permohonan itu, rakan beliau Matbidin Jiris memuatnaik status adik Zirah ke laman sosial ‘facebook’ atas persetujuan keluarga terbabit sebagai usaha memohon bantuan daripada masyarakat.

Hasilnya, usaha ini memberi kesan positif dan mendapat perhatian DatukMohd Saidi dan bersetuju memberi sumbangan bagi membolehkan adik Zirah menjalani semula pembedahan tersebut yang dijadualkan pada 9 Mac ini.

Sumbangan ini juga adalah sebagai tanggungjawab korporat kepada masyarakat yang disampaikan oleh Pegawai Khas, Salleh Saprin.

“Saya mendapat sinar baru dan bersyukur dengan bantuan yang dihulurkan dan memohon agar anak kami kembali sembuh, membesar seperti kanak-kanak lain.

“Doakan semoga perjalanan pembedahan nanti ianya berjaya dan selamat,”Ujarnya lagi.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan sumbangan untuk menampung kos perubatan adik zirah bolehlah menyalurkan bantuan tersebut terus ke akaun Agro Bank, 2-00-689100009624-9, atas nama ibu zirah, Siti Lahminah Binti Juali.

 

Tinggalkan komen anda