
Oleh Mahazir Abu Hassan/ Zainaudin Ab Hamid &/ Mohamad Nor Eman Abd Latif
BALING, 18 Apr (Malaysiaaktif) – Beban 82 buah keluarga orang asli diringankan hari ini melalui Bantuan rakyat Kedah (BARAKAH). Mereka terdiri daripada penoreh getah dan keluarga miskin masyarakat orang asli.
Majlis yang disempurnakan oleh Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah merangkap Ahli Dewan UNdangan Negeri Kawasan Bayu, Datuk Azmi Che Husain itu diadakan di perkampungan orang asli Kampung Lubuk Legong bagi memudahkan logistik dan kos.
Menurut Azmi, dengan cara ini beliau dapat menyingkatkan masa dan memudahkan penyampaian bantuan tersebut kepada masyarakat orang asli tanpa mereka perlu ke pekan Baling dari lokasi-lokasi yang jauh dan terpencil.
Seorang penerima, Kamal Din, 38, berkata dia bersyukur dan berterima kasih kepada pihak yang membantu, kerana dengan bantuan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarganya.
BARAKAH satu inisiatif kerajaan negeri cetusan idea Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dalam usaha meringankan beban dan mengangkat taraf kehidupan rakyat Kedah, terutama keluarga miskin .
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Baling, Afnan Mohd Roze, Wakil Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Hulu Perak dan Baling Zakaria Mat Noor dan Penghulu Mukim Siong Mohd Fadzly Aliyasak.
-AAS