Oleh Faidah Zabidi / Fauziah Hussain
PORT DICKSON, 1 Apr (Malaysiaaktif) – “AKRAB Care” Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bersedia menggalas tanggungjawab dalam mewujudkan perubahan positif kepada pegawai berprestasi rendah.
Bermula sejak 2013, dahulunya dikenali sebagai Sistem SALAM, kini ditambahbaik struktur modul dan jangka masa program selaras dengan pelan transformasi KKMM tahun ini, ‘Civil Servant Smart Intervention (CSI).
Melalui program CSI, “AKRAB Care” yang terdiri daripada rakan pembimbing perkhidmatan awam KKMM akan dipadankan dengan pegawai berprestasi rendah untuk menjalankan aktiviti bimbingan sepanjang tempoh 10 bulan fasa pemerhatian program ini berlangsung.
KKMM menyambut baik hasrat murni kerajaan melaksanakan Dasar Pemisah yang berkuatkuasa pada tahun ini. Justeru, berpandukan Garis Panduan Program Intervensi bagi tempoh pemerhatian dalam pelaksanaan Dasar Pemisah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), “AKRAB Care” KKMM bersedia menggalas tanggungjawab menjadi agen perubahan kepada pegawai berprestasi rendah ini.
Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan “AKRAB Care” KKMM telah disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman bin Mohamad di Hotel The Grand Beach Resort, Port Dickson semalam.
Beliau dalam ucapannya menggesa agar “AKRAB Care” sentiasa berintegriti tinggi dan menunjukkan komitmen berterusan serta ikhlas dalam tugas sukarela membantu membangunkan warga kerja kementerian yang memerlukan sokongan dan motivasi kerja demi kecemerlangan diri dan organisasi.