Oleh: Aimi Huwaina (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 10 Apr (Malaysiaaktif) – Di saat orang ramai mahu menarik nafas lega ekoran cuaca panas yang semakin berkurangan, keadaan jerebu di beberapa lokasi di ibu negara mula menimbulkan kerisauan.
Laman web Indeks Pencemaran Udara (IPU ) Malaysia setakat pukul 2 petang tadi memaparkan IPU kurang sihat di Banting dengan 102, Cheras 115, dan yang tertinggi setakat ini Putrajaya dengan bacaan IPU 121, berbanding 84 tengah hari tadi.
Menurut seorang Jurulatih Tenis, Mohd Khair Azizi, 28, keadaan sekarang agak menggangu latihan tenis.
“Cuaca panas dan jerebu menyebabkan aktiviti terbatas, jadual latihan pun terpaksa dirombak sebab atlit mengadu tak sihat,” ujar Khair.
Seorang akauntan, En Siyah Muhammad, 26, berkata cuaca panas dan jerebu ketika ini membuatkan dia berasa tidak selesa.
“Tak tahu dari mana datang jerebu sebab tak ada berita yang menyatakan ada hutan terbakar atau apa-apa punca yang boleh menyumbang kepada jerebu. Sebagai penunggang motor, saya memang terdedah dengan udara luar mula rasa sakit tekak dan sakit kepala.”
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan hujan yang lebih signifikan pada minggu hadapan berikutan kedatangan musim peralihan yang berkemungkinan membawa hujan, terutamanya di kawasan-kawasan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.