Skip to main content
Berita TempatanKuala LumpurWilayah Persekutuan

Sos Cili Warisan Realisasikan Produk K1M Taman Salak Jaya

By 10 April 2016Tiada komen2 minit bacaan

 Oleh Zaharah Ismail dan Azri Zainal Abidin (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 10 Apr (Malaysiaaktif) – Ahli Wanita Komuniti 1Malaysia (K1M) Taman Salak Jaya,  Kawasan Parlimen Seputeh berjaya merealisasikan hasrat menghasilkan produk K1M berupa makanan tambahan, iaitu Sos Cili Warisan.

Diusahakan bermula Januari 2016 lalu, sos cili ini sesuai digunakan untuk pelbagai tujuan masakan dan enak digunakan sebagai bahan pencicah.

Norezan Nordin, selaku Ketua Wanita K1M Taman Salak Jaya menjelaskan, seramai 20 orang ahli terlibat dalam mengusahakan produk sos cili ini.

IMG-20160410-WA0028

Menurutnya lagi, penghasilan produk ini masih diusahakan secara kecil-kecilan kerana dana diperoleh hanya daripada kalangan ahli itu sendiri.

Walaubagaimanapun, sumbangan daripada Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti K1M Taman Salak Jaya dan Kawasan Rukun Tetanggga Taman Salak Jaya serta sumbangan peribadi individu, turut membantu kos penghasilan produk tersebut.

“Penghasilan sos cili ini masih diproses secara manual. Kami tidak mempunyai mesin berkuasa tinggi kerana kekangan kos yang besar. Produk yang dihasilkan menggunakan cili yang berkualiti tinggi dan air yang bertapis. Ia adalah untuk menjaga standard kualiti produk yang bakal dijual kepada pengguna. Paling penting sos cili ini halal dan bersih untuk dimakan.”

Tambah beliau, ‘Kami juga memerlukan khidmat nasihat ekonomi, kaunseling dan guaman kerana kami perlukan ilmu pengetahuan dalam bidang keusahawanan ini. Selain itu, penyediaan dana, program latihan dan pendidikan serta penyeliaan kemudahan perlu dalam memastikan kelangsungan penjualan produk ini agarnya ianya bukan sekadar impian “hangat-hangat tahi ayam”.

Ketika ini, pemasaran produk adalah sekitar karnival dan pameran makanan di Kuala Lumpur sahaja. Perancangan mereka pada masa akan datang untuk menumpukan pemasaran Sos Cili Warisan secara fizikal ke jualan runcit di seluruh Malaysia.

Norezan menambah, dalam era teknologi kini, beliau mengharapkan agar produk ini dapat dipromosikan secara maya melalui laman sosial seperti di Facebook dan Instragram.

Melalui K1M di bawah pentadbiran Jabatan Penerangan Malaysia, beliau mengharapkan agar mereka dapat menyertai karnival Semarak di setiap Parlimen dan Program Info K1M agar dapat mempromosikan produk ini dengan lebih aktif dan agresif.

Ahli-ahli wanita K1M di sini juga menyatakan bahawa mereka perlu lebih kreatif dalam memperkenalkan produk, termasuk menampilkan kelainan dengan cara berbeza bagi menarik pelanggan kerana bidang keusahawanan menawarkan potensi besar kerana senario perniagaan masa kini tidak memerlukan mereka menyewa tapak, memadai dengan dalam talian yang semakin berkesan.

Harga sebotol Sos Cili Warisan ialah RM3.00 dan pengeluaran stok baharu akan dikeluarkan selewat-lewatnya sebelum bulan Jun 2016 iaitu menjelang Ramadhan 1437H.

K1M merupakan satu badan bukan kerajaan (NGO) seliaan Jabatan Penerangan Malaysia yang mengumpulkan para usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dengan membantu ahli komuniti yang telah atau berminat menceburi bidang perniagaan.

Ketika ini, lebih 1,500 Komuniti 1Malaysia (K1M) seluruh Malaysia akan diperkasa dengan memaksimumkan penggunaan teknologi maklumat dan diberi pendedahan kepada program-program Jabatan Penerangan Malaysia.

-DK

Tinggalkan komen anda