Oleh: ?Asmidar Zainol & Abdul Sani Ariff Lokman(Sabah)
KOTA BELUD, 4 Apr (Malaysiaktif) –?Komuniti 1Malaysia(K1M) mampu menjadi landasan menjana pendapatan masyarakat setempat di samping mengeratkan hubungan antara satu sama lain.
Menurut Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Hj Musbah Hj Jamli, K1M dapat membantu pengusaha bumiputera luar bandar memperluas promosi produk mereka hingga ke peringkat yang lebih tinggi.
“Saya berharap pengusaha kilang tempatan dipelawa bersama dalam setiap program Komuniti untuk memberi peluang kepada pengusaha memasarkan produk di samping mencari rakan kongsi yang mampu mengetengahkan produk mereka dalam pasaran yang lebih luas.
Musbah menyarankan K1M membantu meningkatkan kualiti dan pembangunan produk tempatan dari aspek pembungkusan dan pelabelan agar lebih menarik, berdaya saing dan berdaya maju.
Musbah turut menyeru golongan belia untuk menyertai program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 24 Mac 2014 bagi meningkatkan ekonomi belia hari ini.
“Seharusnya belia mencabar diri menceburi seperti perniagaan, industri pertanian dan penternakan yang dapat memberi pendapatan lumayan masa hadapan,” ujarnya semasa merasmikan Semarak K1M peringkat Daerah Kota Belud 2016 di sini, Sabtu lepas.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah, Yunus Sapirin berkata kali ini kami berkerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia Sabah dan Labuan untuk memberi maklumat kepada masyarakat setempat.
“Menerusi media sosial hari ini banyak maklumat tidak tepat disebarkan secara berleluasa dan melalui aktiviti sebegini, kita boleh menjelaskan senario sebenar.
Dalam pada itu JaPen Sabah turut menyerahkan geran pengurusan K1M Daerah Kota Belud berjumlah RM35 ribu kepada Pengerusi Pemuafakataan K1M daerah berkenaan, Hj Marali Adim.
Turut diadakan Pertandingan Tarian Kebudayaan Etnik Sabah yang disertai sembilan pasukan mewakili K1M masing-masing.
Kumpulan Dance Hunter mewakili K1M Kampung Kulambai dengan persembahan tarian Limbai dari suku kaum Bajau dinobat sebagai Johan pertandingan membawa pulang RM500.
Tempat kedua dimenangi oleh kumpulan Dusun Indal wakil K1M Kampung Piasau, membawa pulang wang tunai RM400 dan tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan Warisan Seni , K1M Kampung Pengkalan Abai memenangi wang tunai RM300.