Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Lebuh Raya Bayan Lepas Dibuka

By 6 April 2016Tiada komen1 minit bacaan

 

 Laporan oleh: Mohd Shahrizan Shahabudin / Foto oleh: Shamsul Bahari Abdul Shukor

BAYAN LEPAS, 6 Apr (Malaysiaaktif) – Laluan bertingkat Lebuh Raya Bayan Lepas (BLE) dibuka kepada umum bermula hari ini.

Pembukaan laluan bertingkat 4 lorong sepanjang 3.225 kilometer merupakan sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Persekutuan dalam penguraian trafik, di samping membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas antara Batu Maung dan Sungai Nibong.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, pembinaan fizikal keseluruhan BLE kini telah siap 99 peratus, dengan satu peratus lagi untuk kerja-kerja pembinaan jejambat basikal di bahagian bawah laluan bertingkat serta kerja-kerja landskap di kawasan pantai.

Tambahnya, BLE direka bentuk untuk menampung jumlah trafik sehingga 70,000 kenderaan sehari pada tahap perkhidmatan (LOS-Level of Service) A di laluan bertingkat dan LOS C di laluan searas.

“Kapasiti maksimanya dijangka mencecah jumlah maksimum trafik menjelang 2030 dengan LOS C di laluan bertingkat dan LOS E di laluan searas,” ujar Fadillah lagi.

Beliau berkata demikian dalam sesi sidang media selepas membuat pelepasan trafik pertama di BLE.

Sepanjang laluan BLE telah dilengkapi dengan lampu jalan LED bagi memberi keselesaan dan jaminan keselamatan kepada pengguna.

Kerja-kerja pembinaan BLE yang bernilai RM337 juta telah dimulakan pada 1 April 2014 dan dijangkakan siap sepenuhnya pada Jun 2016.

Tinggalkan komen anda