Skip to main content
Berita TempatanKelantan

Legasi Keropok Lekor Raja Kalsom

By 1 April 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 

Oleh : Nur Shafira Bt Mat Hussin (Pasir Puteh)

PASIR PUTEH, 1 Apr (Malaysiaaktif) –  Pasir Puteh merupakan salah satu daripada sepuluh daerah di Negeri Kelantan yang sinonim dengan pantai yang bersih menghadap Laut China Selatan, seperti Pantai Bisikan Bayu, Semerak dan Pantai Tok Bali. Oleh yang demikian sumber perikanan yang segar bukan satu masalah bagi penduduk Pasir Puteh.

Perusahaan keropok lekor merupakan antara cabang perniagaan yang popular dan banyak terdapat di daerah ini kerana para peniaga mudah mendapatkan bekalan ikan segar untuk pembuatan keropok lekor.

Keropok lekor atau keropok batang merupakan sejenis makanan tradisional masyarakat Pantai Timur Semenanjung Malaysia, ia sangat kaya dengan rasa dan isi ikan segar yang menjadi bahan utama dalam proses pembuatan keropok lekor.

Keropok lekor boleh dimakan begitu sahaja selepas diangkat daripada rebusan dan sangat serasi di cicah dengan sos cili atau sos air lada. Walaupun produk Keropok Lekor Raja Kalsom menjadi saingan kepada Keropok Losong buatan Negeri Terengganu, namun ia tetap mempunyai keunikan dan peminat nya sendiri.

Raja kalsom menyiapkan ikan sebelum diproses

Raja kalsom menyiapkan ikan sebelum diproses

 

Bagi Raja Kalsom Raja Sulaiman,70, proses pembuatan dan rasa keropok lekor berbeza di setiap tempat mahupun negeri. Ini kerana pengeluar cuba memenuhi kehendak dan cita rasa masyarakat setempat. Beliau yang sudah melebih 30 tahun menjadi pengusaha dan pengeluar keropok lekor mempunyai pelanggan tetap yang sentiasa mendapatkan bekalan keropok lekor.

“Rahsia bagi kesedapan dan keenakan keropok lekor adalah pemilihan jenis ikan yang tepat dan segar serta teknik pembuatan yang tertentu” ujar beliau mengenai rahsia keenakkan keropok lekornya.

Sepanjang mengurus perusahaan keropok lekor ini, beliau telah mengharungi pelbagai bentuk ujian antaranya risiko kilang yang ditenggelami air sewaktu musim tengkujuh dan ketiadaan bekalan ikan untuk pembuatan keropok lekor. Kilang yang dimiliki oleh Raja Kalsom dengan dibantu oleh dua orang pembantu sentiasa mendapat tempahan keropok lekor.

Sebanyak lebih 500 kilogram ikan digunakan Raja Kalsom dalam memenuhi kehendak pasaran. “Kebiasaannya keperluan ikan untuk pembuatan keropok lekor dalam tempoh seminggu adalah dalam lingkungan 600 kilogram sahaja, namun berbeza jika tiba musim perayaan yang mana ia akan mencecah sehingga 2000 kilogram”.

Dalam kesempatan itu juga Raja Kalsom meluahkan harapan beliau agar perniagaan ini akan diwarisi dan diteruskan oleh generasi keluarganya, malah beliau juga berharap agar perniagaan ini mendapat bimbingan daripada jabatan atau agensi kerajaan supaya produk keropok lekor ini mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Tinggalkan komen anda