Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHomeViral

Lima Manifesto BN untuk Batu Kawah – Dr. Sim

By 28 April 2016Tiada komen2 minit bacaan
Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa / Mohd Borhan Ahmad Ulis (Sarawak) / Foto: Abdul Hafiz Itam

KUCHING, 28 Apr (Malaysiaaktif) – Calon BN N.14 Batu Kawah, Dr. Sim Kui Hian mendedahkan lima komponen utama manifestonya dengan tema “Kembalikan Sinar Batu Kawah” dalam usaha menawan kawasan berkenaan.

Menurut Dr. Sim yang merupakan Presiden Sarawak United Peoples’ Party, lima komponen itu ialah peluang peluang perniagaan, halaman berkualiti, peluang pendidikan, kesihatan dan jaringan komuniti.

Dr. Sim berucap dalam Perasmian Balai Raya Kampung Desa Wira, Batu Kawah oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini malam tadi.

Pertandingan merebut kerusi tiga penjuru dalam Pilihan Raya (PRN) Sarawak ke-11 itu melibatkan calon Democratic Action Party (DAP), Christine Chiew Wang See dan calon Bebas Liu Thian Leong.

Dr. Sim yang merupakan pakar jantung itu, mengajak para pengundi untuk menolak calon pembangkang kerana dalam tempoh lima tahun sebelum ini, Batu Kawah masih dihantui masalah banjir tanpa ada sebarang tindakan oleh parti pembangkang.

“Saya sendiri telah menyuarakan permasalahan kelambatan pemberian wang ihsan dalam sidang Dewan Negara supaya pemberian tersebut disegerakan,” ujar Sim.

Beliau berkata sudah sampai masanya pengundi Batu Kawah untuk memberikan peluang kepada BN mengatasi masalah banjir secara menyeluruh agar tidak berulang saban tahun.

Dr. Sim juga mengingatkan calon individu yang bertanding atas tiket calon Bebas tidak akan diserap ke dalam parti-parti BN. Ini kerana individu tersebut tidak mempunyai watikah pelantikan daripada BN Negeri dan adalah mustahil bagi mereka mendapat tempat dalam parti komponen BN.

Kerusi N.14 Batu Kawah mempunyai pecahan kaum sebanyak 60 peratus Cina dan 40 peratus bumiputera.

Pada pilihan raya DUN ke-10 yang lepas, calon penyandang SUPP, Tan Joo Phoi telah tewas kepada calon DAP, Christina Chiew Wang See dengan majoriti tipis sebanyak 543 undi.

Pada masa itu juga Dr. Sim telah bertanding di DUN N.10 Pending, namun tewas kepada calon DAP, Violet Yong Wui Wui dengan kelebihan majoriti sebanyak 7,595 undi.

Hadir sama pada majlis itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Haji Shukri dan Residen Kuching, Shukarmin Chasemon.

SUPP akan bertanding dalam 13 kerusi PRN kali ini.

 

-SF

Tinggalkan komen anda