Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa (Sabah)
SANDAKAN, 21 Apr (Malaysiaktif) –? Tutur katanya yang sopan dengan riak wajah bersih tidak membayangkan bahawa dirinya merupakan orang kelainan upaya (OKU) yang tidak mempunyai penglihatan sempurna.
Salmah Susukan, 55, mempunyai aura yang positif tatkala menceritakan kisahnya yang bermula sebagai tukang jahit namun pada 2002 secara tiba-tiba urat matanya dikatakan mati oleh sebab pengaliran darah yang tidak lancar.
Menurut Salmah, walaupun hilang deria penglihatan, kehidupannya tetap perlu diteruskan. Salmah berkahwin dengan suami yang juga merupakan OKU buta bertekad meneruskan kerja dalam bidang refleksologi bermula 2007.
“Kami berdua mengikuti kelas urutan anjuran Jabatan Pembangunan Kemanusiaan dan mula bekerja di pusat urut. Pendapatan bulanan kami simpan, dan perlahan-lahan kami memulakan perniagaan terus dari rumah dengan berbekalkan wang simpanan kira-kira RM 5000.
“Bermula 2012, setelah berpindah menerusi Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Murni, saya dan suami membeli peralatan seperti kerusi dan katil bagi urutan kaki, tangan dan kepala. Kami mengambil ubah serendah RM15 ke RM45 selama 30 hingga 60 minit.
“Tambahnya, konsep saya mudah, saya mahukan pelanggan berasa selesa kerana kebersihan keutamaan saya, Alhamdulillah pendapatan bulanan kami mencecah RM1500 sebulan, “ ujarnya yang juga mempunyai seorang anak perempuan dan seorang cucu.
Ibarat langit tak selalunya cerah, November lalu, Salmah telah kematian suaminya setelah diserang sakit jantung.
Kemudian dia mendapat elaun bulanan daripada Baitumal dan elaun Pekerja yang diterimanya sekitar RM500 sebulan.
Kini, Salmah berusaha untuk mengajar anaknya dan juga adik suaminya untuk mempelajari teknik urutan yang betul bagi menstabilkan semula ekonomi keluarganya.
Salmah ditemui pagi tadi ketika sesi penyerahan bantuan Jalinan Kasih oleh Pengarah Gerak Saraf dan Pengurusan Isu, Haji Hashim Haji Bedu.
Menurut Hashim, program siri keempat 2016 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia itu berusaha untuk membantu mereka yang terlantar sakit, OKU, ibu tunggal dan miskin.
“Program ini juga membuka mata kita tentang betapa penting nilai Keluargaku Syurgaku. Selain kes Salmah yang tabah, ada juga kes ibu bapa sakit di sini. Walaupun mempunyai anak-anak yang berjaya, namun mereka ini tinggal jauh. Oleh itu, elemen kasih sayang dilihat amat penting dalam sesebuah institusi kekeluargaan,” tambah Hashim lagi
Selain Jalinan Kasih, ada juga program Zikir Kasih dan Tayangan Layar Bestari OlaBola pada malam ini bersempena program “Apa Kata Gen-Y” yang akan berlangsung di Institut Latihan Perindustrian ( ILP) Sandakan pagi esok.