Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraEkonomiHomeKedahViral

Menghasilkan Penyapu Daripada Riong Batu

By 14 April 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Azfariza Ismail / Mahazir Abu Hassan / Yaakob Mat Isa / Zainuddin Ab Hamid / Mohd Noor Eman / Siti Yusmila Yusof

BALING, 14 Apr (Malaysiaaktif) — Umumnya ramai yang tidak tahu bagaimana sebatang penyapu dihasilkan.  Namun, bagi Abdul Aziz Hashim, 53 dari Kampung Bukit Hijau menjadikan ia sumber pendapatan sampingan yang memberi pulangan yang agak baik.

Menurut beliau, penyapu yang dibuatnya dihasilkan daripada pokok Riong Batu yang banyak terdapat di kawasan hutan dan lereng-lereng bukit.  Oleh kerana beliau sendiri tinggal di kawasan berhampiran bukit, maka beliau menggunakan kudrat sendiri untuk mendapatkan bahan daripada pokok ini.

Pokok Riong Batu hanya berbunga setahun sekali, dari bulan Februari hingga.  Waktu ini paling baik disebabkan cuaca panas kerana batang Riong Batu perlu dijemur hingga kering sebelum boleh diproses untuk menghasilkan penyapu.

Abdul Aziz berkata, selepas pokok Riong Batu dipotong, ia harus dijemur selama sekurang-kurangnya dua hari.  Kemudian ia perlu diketuk (seperti memukul padi) untuk menyingkirkan debunganya.  Proses penjemuran disambung lebih kurang seminggu bagi memastikan ia benar-benar kering untuk mengelakkan penyapu  rapuh dan mudah patah.

Proses menghasilkan sebatang penyapu mengambil masa lebih kurang 20 minit kerana ia dilakukan secara manual.  Sebanyak 50 batang Riong Batu digunakan dan diikat kemas menggunakan dawai.  Ia menjadikan penyapu ini lebih kuat dan kukuh jika dibandingkan dengan penyapu lain yang biasa dijual di kedai-kedai runcit.

Menurut Abdul Aziz lagi, penyapu yang dihasilkannya mendapat permintaan tinggi daripada peruncit dan pemborong dari dalam dan luar kawasan Baling.  Terdapat juga tempahan daripada orang perseorangan.  Oleh yang demikian, beliau berusaha menghasilkan sebanyak mungkin penyapu bagi memenuhi tempahan dan pasaran sekitar untuk bekalan sepanjang tahun.

 

Tinggalkan komen anda