Skip to main content
Berita TempatanHomeSabahViral

Penduduk Lega, Tapi Bekalan Air Perlu Lebih Menyeluruh

By 20 April 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
 
Oleh Mohd Faisal Mohd Yunus (Sabah)

KUDAT, 20 Apr (Malaysiaktif) –? Lebih 20,000 penduduk kampung di sekitar Pulau Banggi di sini yang menghadapi masalah untuk mendapatkan air bersih kini menarik nafas lega apabila kerajaan negeri mula menyalurkan bantuan.

Menteri Tugas-Tugas Khas kepada Ketua Menteri, Datuk Teo Chee Kang yang mengadakan lawatan sehari ke pulau terbabit mengarahkan Pejabat Daerah Kecil Banggi memperluas penghantaran bantuan bekalan air bersih ke setiap kampung.

Menurut Chee Kang, bekalan air tersebut perlu meliputi seluruh kampung di pulau itu dan segala kos penghantaran air akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kudat Sapdin Ibrahim berkata bekalan air bersih yang diterima penduduk kampung setiap hari sejak dua minggu lalu berpusat di Pekan Karakit.

Sapdin yang juga pengerusi Jawatankuasa Bencana memaklumkan penghantaran bekalan air dari daerah Kudat itu dibuat tiga kali seminggu dengan menggunakan dua buah kapal tongkang bagi menampung keperluan penduduk di pulau tersebut.

“Pengagihan merangkumi 30 buah kampung di sekitar pulau ini dan perancangan sedang diambil tindakan bagi memperluas lagi pengagihan bekalan air bersih  ke setiap tempat di kawasan terbabit,”  katanya ketika ditemui semasa lawatan kerja Menteri Tugas-Tugas Khas ke Pulau Banggi pada Ahad.

 

Kawasan takungan air di Kampung Pangkalan Darat yang semakin kering akibat musim cuaca panas.

Kawasan takungan air di Kg Pangkalan Darat yang semakin kering akibat musim cuaca panas.

 

Pengerusi Komuniti 1Malaysia Karakit, Abdul Hashim Haji Hama amat berterima kasih atas bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri dalam usaha membantu meringankan masalah penduduk kampung akibat daripada masalah kemarau ketika ini.

“Walaupun bekalan air yang ada masih terhad namun dapat meringankan sedikit bebanan kehidupan kami mendapatkan bekalan air bagi kegunaan seharian terutama untuk makan dan minum,” ujarnya.

Jurutera Jabatan Bekalan air Kudat, Choo Khim Chiew berkata sumber bekalan air di pulau itu diperoleh dari takungan air di Sungai kampung Pangkalan Darat.

“Cuaca panas El Nino menyebabkan takungan air di sungai berkenaan menyusut ke paras kritikal menyebabkan bekalan air tidak dapat disalurkan ke paip utama, namun masih dapat membekalkan air secara berpusat di Pekan Karakit, Banggi.

“Penghantaran bekalan air dengan menggunakan dua buah kapal tongkang tersebut mampu menghantar sebanyak 36 ribu liter sehari dengan kekerapan dua kali penghantaran pada pagi dan petang bergantung kepada keperluan penduduk.

“Bekalan air yang diperoleh penduduk ketika ini mencukupi dan diharap agar penduduk di sekitar kawasan yang terjejas dapat mengawal penggunaan air bagi memastikan setiap bekalan yang dihantar dapat menampung keperluan seharian,” katanya semasa dihubungi di pejabatnya pagi tadi.

 

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda