Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHomeViral

Peningkatan Paras Laut Menjelang 2100

By 9 April 2016Tiada komen2 minit bacaan

 Oleh: Mohd Baharruddin bin Mohamad

SANTUBONG, 9 Apr (Malaysiaaktif) – Menjelang 2100 beberapa kawasan di sepanjang pantai di Semenanjung Malaysia akan mengalami kenaikan paras laut antara 0.25m-0.52m manakala perairan Sarawak sebanyak 0.43m-0.56m sementara Sabah pula sebanyak 0.63m-1.06m.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia (NRE), Datuk Seri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, perubahan iklim merupakan satu fenomena global yang dihadapi oleh dunia kini termasuk Malaysia yang mengakibatkan peningkatan suhu dunia sekali gus meningkatkan aras laut, banjir, tanah runtuh, hakisan pantai, kemarau, dan kebakaran hutan.

“NRE melalui Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) sedang giat menjalankan penyelidikan bagi mengenal pasti risiko dan langkah-langkah adaptasi yang bersesuaian dalam menghadapi isu ini,” ujarnya.

“Dianggarkan menjelang  2100, kira- kira 1.5 juta penduduk yang terjejas akibat kenaikan aras laut,” katanya semasa melancarkan program Rakan NRE-Peningkatan Aras Laut (SLR) bertempat di Pantai Puteri, di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut seramai 13 orang penduduk dari kampung sekitar telah dilantik sebagai Perintis Rakan NRE – Peningkatan Aras Laut (SLR) bagi mencapai sasaran ‘1 Pantai 1 Rakan NRE’. Program ini akan diperluas ke seluruh Malaysia secara berperingkat.

“Peranan utama mereka adalah untuk mengambil gambar sebelum, semasa dan selepas fenomena peningkatan aras laut, semasa air pasang tinggi dan memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat fenomena luar biasa.

Tambahnya, program ini dapat menghebahkan hasil penyelidikan NAHRIM serta memaklumkan inisiatif yang diambil oleh NRE bagi memastikan kebajikan masyarakat yang tinggal berhampiran kawasan pesisiran pantai dipelihara.

SF

 

 

 

Tinggalkan komen anda